KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berhasrat untuk bertemu dengan kumpulan permotoran RXZ.
Menurutnya, ia bagi membolehkan perbincangan dalam suasana harmoni dapat diadakan selain melihat hala tuju kumpulan permotoran itu.
Jelas beliau, pihaknya sentiasa membuka pintu mahabbah dan dialog agar semua perkara dapat diselesaikan dengan baik.
“Fatwa memayungi umah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini, beberapa tokoh agamawan dilaporkan menyuarakan teguran susulan kontroversi Himpunan RXZ Members 8.0 di Terengganu, minggu lalu.
Ia selepas program itu dikaitkan dengan pelbagai isu termasuk peningkatan kes kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya, selain peserta konvoi ditahan kerana positif dadah.
Antara yang tampil menegur ialah bekas Mufti Terengganu, Prof Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, berdasarkan pemerhatiannya, acara menghimpunkan peminat motosikal Yamaha RXZ itu dilihat membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat kepada masyarakat, khususnya umat Islam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, sebanyak 46 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal direkodkan dalam tempoh empat hari sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0, bermula 30 Julai hingga Ahad lepas.
Ujarnya, daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes atau 23.91 peratus adalah kemalangan maut, lima kes (10.87 peratus) kemalangan parah dan 30 kes (65.22 peratus) kemalangan ringan.
Beliau berkata mengikut pecahan harian, empat kes direkodkan pada 30 Julai, 16 kes (31 Julai), 11 kes (1 Ogos) dan 15 kes (2 Ogos) melibatkan keseluruhan 44 mangsa lelaki dan dua wanita.
Sementara itu, menerusi ruangan Tinta Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz berkata, masih ramai lagi dalam kalangan umat Islam yang kurang cakna dengan tanggungjawab untuk menjaga nyawa dan jiwa yang diamanahkan oleh Allah SWT.
Katanya, ia sama ada dengan bersikap cuai ketika memandu, mengabaikan peraturan dan tatatertib jalan raya, mahupun memandang ringan risiko yang boleh membawa maut kepada diri sendiri dan orang lain.
Sedangkan, ujarnya, Islam amat menitikberatkan konsep hifz al-nafs (memelihara nyawa) sebagai salah satu daripada lima perkara utama (al-kulliyyat al-khams) yang menjadi objektif utama pensyariatan.
“Justeru, persoalannya sekarang, apakah yang perlu kita lakukan bagi menangani isu ini? Setiap dari kita perlu kembali menghayati bahawa keselamatan diri di jalan raya bukan sekadar isu keselamatan awam semata-mata, malah ia adalah sebahagian daripada ibadah dan tanggungjawab agama kita dalam memelihara amanah nyawa.
“Antara langkah mudah yang boleh diamalkan ialah sentiasa mematuhi had laju dan peraturan lalu lintas, mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan mengantuk, letih atau di bawah pengaruh bahan yang memabukkan, memakai tali pinggang keledar dan topi keledar dengan betul, serta tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” tulisnya. – MalaysiaGazette















