Parti Wawasan Negara mengadakan mesyuarat khas di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, malam ini.

PETALING JAYA – Parti Wawasan Negara (Wawasan) dijangka melakukan rombakan besar terhadap struktur pentadbirannya apabila Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) yang berlangsung malam ini membincangkan beberapa pindaan penting termasuk pemansuhan jawatan Pengerusi parti.

Mesyuarat itu yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berlangsung di Tqropicana Golf & Country Resort di sini, yang bermula kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

MalaysiaGazette difahamkan, EGM berkenaan diadakan bagi memperhalusi beberapa cadangan pindaan terhadap perlembagaan parti sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan organisasi susulan landskap politik negara yang semakin dinamik.

Parti Wawasan Negara mengadakan mesyuarat khas di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, malam ini.

Antara cadangan utama yang dijangka mendapat perhatian ialah pemansuhan jawatan Pengerusi parti yang ketika ini disandang Tan Sri Rais Yatim.

Langkah itu dipercayai bertujuan menyusun semula struktur kepimpinan Wawasan supaya lebih tersusun dan memperkemaskan proses membuat keputusan di peringkat tertinggi parti.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut dijangka mempertimbangkan cadangan untuk meminda tempoh penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), dengan menetapkan ia hanya diadakan sekali dalam tempoh lima tahun.

Sekiranya diluluskan, pindaan tersebut akan menjadi antara perubahan paling signifikan dalam pentadbiran Wawasan sejak penubuhannya, sekali gus mengubah tatacara pengurusan parti pada masa hadapan.

Mesyuarat berkenaan turut dijangka menjadi platform untuk kepimpinan parti meneliti hala tuju Wawasan serta memperkukuhkan persediaan menghadapi perkembangan politik semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast