Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUDAT – Barisan Nasional (BN) masih membuka ruang perundingan berhubung pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk pertukaran kawasan, asalkan ia dibuat dengan jujur dan ikhlas, kata Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata prinsip asas perundingan itu menetapkan kerusi yang telah dimenangi oleh mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

“Sebagaimana yang saya nyatakan… Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), yang juga Pengerusi BN Melaka, menyatakan bahawa asasnya, sebarang perundingan, di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu hendaklah dihormati.

“… tetapi perundingan boleh dilakukan untuk ‘swap’ atau pertukaran kerusi asalkan jumlah kerusi itu sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rungus di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pilihan pertukaran kerusi juga boleh dirunding membabitkan negeri-negeri lain yang dikuasai parti berkenaan, dengan syarat ia dibuat secara seimbang.

“Prinsip kami adalah bahawa tidak mustahil kalau pintu itu terus terbuka untuk perundingan tetapi jangan buka seluas-luasnya, (dan) jangan tutup pintu itu serapat-rapatnya,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast