KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mencabar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan parti itu supaya mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya benar dakwaan bahawa DAP dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai agenda mengancam Melayu serta Islam.
Ketua Wanitanya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, tuduhan DAP dan PH meneruskan kesinambungan agenda penjajah untuk menghapuskan Melayu dan Islam bukan perkara kecil kerana ia menyentuh soal agama, bangsa, maruah serta kesetiaan kepada negara.
Menurutnya, dakwaan sedemikian perlu dibuktikan melalui saluran undang-undang dan institusi negara, bukannya sekadar dijadikan bahan ceramah, kuliah atau propaganda politik bagi membangkitkan ketakutan dalam kalangan rakyat.
“Jika benar terdapat bukti DAP dan PH mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam, mengancam kedudukan Islam dalam Perlembagaan atau menjalankan usaha menentang asas negara ini, bawalah bukti tersebut ke mahkamah dan saluran undang-undang yang sah.
“Jangan hanya mengulang retorik bersifat dakwaan dalam ceramah, kuliah, kenyataan media atau tulisan politik yang membakar emosi rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi menerusi Minda Presiden PAS bertajuk ‘DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam’ mendakwa DAP yang mendominasi PH sedang meneruskan agenda penjajah bagi melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, agenda berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan politik, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran yang menurutnya berakar daripada sistem peninggalan penjajahan.
Aiman Athirah juga berkata, Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan, sistem kehakiman serta institusi penguatkuasaan yang menyediakan mekanisme bagi menangani sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan asas negara.
Justeru, katanya, jika sesuatu dakwaan itu benar-benar mempunyai asas, ia seharusnya boleh dikemukakan kepada institusi berkaitan untuk dinilai dan diambil tindakan mengikut undang-undang.
“Jika benar DAP dan PH adalah ancaman seperti yang sering digambarkan, mengapa ketika mempunyai ruang kuasa, Pas tidak mengambil tindakan undang-undang?
“Mengapa tidak dibawa bukti bahawa DAP melanggar Perlembagaan dan mengapa tidak menggunakan institusi negara untuk membuktikan dakwaan tersebut?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan perjuangan yang benar tidak seharusnya takut kepada kebenaran dan proses undang-undang.
“Tuduhan berat terhadap mana-mana pihak tidak wajar dibiarkan sekadar menjadi retorik politik tanpa pembuktian kerana ia berpotensi mencetuskan ketakutan, kebencian dan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.
Aiman Athirah turut menegaskan bahawa politik yang membawa nama Islam mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk memastikan setiap dakwaan dibuat berasaskan ilmu, keadilan dan akhlak.
“Islam tidak mengajar umatnya membina kekuatan melalui fitnah, sangkaan atau penghukuman terburu-buru terhadap pihak yang mempunyai perbezaan pandangan politik.
“Apabila sesuatu pihak dilabel sebagai musuh agama, musuh bangsa dan alat penjajah tanpa bukti yang kukuh, ia bukan sahaja merosakkan hubungan sesama rakyat, malah mencemarkan nilai Islam itu sendiri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya mengelakkan sikap ghuluw, iaitu melampaui batas dalam memahami dan memperjuangkan agama, selain budaya takfiri yang mudah menghukum atau melabel pihak lain tanpa asas ilmu, bukti dan proses yang adil.
“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang menghukum niat, iman atau kesetiaan pihak lain,” katanya.
Dalam pada itu, Aiman Athirah menyifatkan politik yang membahagikan masyarakat kepada kelompok “kami sahaja benar” dan “mereka semuanya musuh” sebagai pendekatan yang berbahaya.
“Sejarah Islam sendiri menunjukkan kesan buruk apabila sikap melampau dalam beragama membawa kepada perpecahan dan permusuhan.
“Politik Khawarij yang membawa umat kepada budaya takfiri, kebencian dan perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam sendiri.
“Kekuatan Islam bukan dibina dengan mencari musuh yang sentiasa berubah, tetapi dengan menegakkan keadilan, ilmu, rahmah dan akhlak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















