KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail melihat kejayaan menamatkan Kursus Bakal Pegawai (S) (KJJD) (Decentralised) Siri 2/2026, Rejimen 502 Askar Wataniah sebagai pengalaman penting dalam memperkukuh disiplin, ketahanan diri dan kepimpinan dalam parti itu.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, kursus itu bukan sekadar latihan ketenteraan, sebaliknya menjadi medan menguji ketahanan fizikal, kekuatan mental, disiplin, integriti serta keupayaan membuat keputusan ketika berdepan situasi mencabar.
Menurutnya, segala pengalaman dan cabaran sepanjang mengikuti latihan itu akan dijadikan bekalan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
“Bagi saya, kursus ini bukan sekadar satu latihan ketenteraan, tetapi merupakan satu proses pembentukan diri yang menguji ketahanan fizikal, kekuatan mental, disiplin, integriti serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi yang mencabar.
“Pengalaman ini memberikan banyak pengajaran berharga yang akan saya jadikan bekalan dalam meneruskan amanah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Fariz juga berkata, kepimpinan tidak seharusnya diukur berdasarkan jawatan semata-mata, sebaliknya melalui kesediaan seseorang untuk terus belajar, memperbaiki diri dan berdepan cabaran dengan disiplin serta rasa tanggungjawab.
“Kursus itu juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh jati diri dan membentuk kepimpinan yang lebih berdaya tahan, berprinsip serta berorientasikan khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Menurut Fariz, penglibatan dalam dunia politik dan kemasyarakatan turut mengajarnya bahawa seorang pemimpin perlu sentiasa bersama rakyat, berani mempertahankan perkara diyakini benar dan tidak gentar berdepan cabaran demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Prinsip ‘No Fear, No Surrender! Pemuda Cara Kita!’ bukan sekadar slogan, tetapi menjadi pegangan yang mengingatkan saya supaya sentiasa berani memikul tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti,” katanya.
Dalam pada itu, Fariz Hazurin menegaskan kepentingan memberi ruang lebih luas kepada golongan muda untuk membina potensi dan mengambil peranan dalam kepimpinan negara.
“Usaha memperkukuh agenda pembangunan belia perlu diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdisiplin, berwawasan dan mempunyai semangat patriotisme tinggi,” katanya.
Fariz turut berkata, pendekatan mendekati generasi muda juga perlu disesuaikan dengan perubahan zaman, termasuk menggunakan pelbagai medium yang mampu menyampaikan mesej perpaduan, nilai murni dan kecintaan terhadap tanah air.
“Malaysia memerlukan generasi pemimpin yang bukan sahaja memiliki ilmu dan visi, tetapi juga mempunyai disiplin, keberanian serta kesediaan untuk berkhidmat dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Beliau menyifatkan kejayaan menamatkan kursus itu bukan sebagai titik akhir, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.
“Pengalaman yang diperoleh sepanjang latihan akan dimanfaatkan untuk memperkukuh nilai disiplin, semangat setiakawan, ketahanan diri dan kepimpinan berteraskan integriti dalam setiap amanah yang dipikul,” katanya.
Selain itu, Fariz turut berharap pengalaman tersebut dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mencabar keupayaan diri, membina ketahanan fizikal dan mental serta menyemai semangat cintakan negara. – MalaysiaGazette
















