KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa amat dukacita atas pemergian bayi pertama yang dilahirkan menerusi inisiatif Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), Jaden Samuel Desen, yang meninggal dunia semalam pada usia 20 tahun.
Tengku Ampuan Pahang yang juga Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF menyifatkan pemergian mendiang Jaden sebagai satu kehilangan yang amat dirasai, khususnya oleh keluarga serta warga TAFF.
“Mendiang Jaden merupakan ‘cucu pertama’ Paduka Baginda yang mendapat tempat istimewa dalam sejarah TAFF selepas dilahirkan hasil rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), sekali gus menjadi simbol harapan kepada pasangan yang sekian lama menantikan kehadiran cahaya mata.
“Lebih menyentuh hati, ibu bapa mendiang, Ps. Jeremiah Vennga dan Sis. Phebe Shanty, menanti selama 17 tahun sebelum dikurniakan cahaya mata menerusi rawatan IVF bersama TAFF,” titah baginda dalam satu kenyataan rasmi di Facebook Kesultanan Pahang.
Kelahiran Jaden pada 19 Jun 2006 selepas penantian panjang menjadi detik penuh bermakna buat pasangan berkenaan, malah turut mencatat sejarah istimewa buat TAFF yang sejak penubuhannya komited membantu pasangan berdepan masalah kesuburan merealisasikan impian memiliki zuriat.
Justeru, pemergian Jaden pada usia muda amat dirasai oleh Paduka Baginda yang menyifatkan anak-anak yang dilahirkan melalui ikhtiar TAFF sebagai sebahagian daripada keluarga besar yayasan berkenaan.
Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kecekalan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang. – MalaysiaGazette
















