Baba Zulkarnain Harun

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan memandang serius kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.

Pengerusinya, Baba Zulkarnain Harun berkata, tuduhan sedemikian merupakan suatu fitnah dan dakwaan yang tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti yang jelas dan sahih.

Menurutnya, tuduhan yang begitu berat bukan sahaja boleh menimbulkan prasangka dan kebencian, bahkan berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Lebih membimbangkan, ujar beliau, pendekatan politik sedemikian bercanggah dengan tuntutan syariat yang mewajibkan keadilan, tabayyun dan larangan membuat tuduhan tanpa bukti.

“Kenyataan tersebut juga memperlihatkan kekeliruan dalam memahami kerangka demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, serta kegagalan melihat maslahah siyasiyyah dalam konteks sebuah negara demokrasi yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Baba Zulkarnain, Malaysia bukan sebuah negara yang membolehkan mana-mana satu parti politik bertindak sesuka hati.

Sebaliknya, kata beliau, kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, Parlimen, undang-undang dan prinsip semak dan imbang.

Jelasnya, Islam mempunyai kedudukan yang jelas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.

Malah, tambahnya, pindaan terhadap beberapa perkara tertentu yang menyentuh kedudukan tersebut turut tertakluk kepada perlindungan dan tatacara perlembagaan.

“Oleh itu, menggambarkan seolah-olah penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan dengan sendirinya membolehkan parti tersebut menghapuskan Melayu dan Islam adalah suatu gambaran yang tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara.

“Lebih-lebih lagi, Kerajaan Persekutuan hari ini merupakan sebuah kerajaan gabungan yang terdiri daripada pelbagai parti, dan setiap dasar kerajaan perlu melalui proses pentadbiran, perundangan dan institusi yang telah ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik, khususnya mereka yang membawa imej dan nama Islam, supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.

Ujarnya, pengaruh seorang pemimpin datang bersama amanah yang besar dan setiap perkataan boleh menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat atau api yang membakar perpecahan.

“Sudah tiba masanya politik negara bergerak daripada politik menakut-nakutkan rakyat kepada politik penyelesaian — berlumba-lumba menawarkan gagasan terbaik untuk meningkatkan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menyediakan pekerjaan, memperkukuh pendidikan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast