KUALA LUMPUR – Usaha mempertahankan sejarah dan identiti Melayu tidak wajar secara automatik dilabel sebagai xenofobia, kata Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
Beliau berkata, masyarakat Melayu mempunyai sejarah interaksi yang panjang dengan pelbagai kelompok dari luar rantau dan tidak boleh dianggap sebagai kelompok yang menolak kehadiran masyarakat asing.
Menurutnya, rantau Melayu sejak sekian lama menjadi ruang pertemuan pelbagai kelompok akibat kedudukan geografi dan hubungan perdagangan serta perantauan.
“Masyarakat Melayu mempunyai pengalaman sejarah menerima kehadiran kelompok dari pelbagai wilayah.
“Ini bukan xenophobic,” katanya berucap pada Forum Kontroversi Tanah Melayu: Menyelesaikan Polemik dan Membina Kesepakatan di Menara Hidayah, Wangsa maju, di sini, hari ini.
Beliau berkata, persoalan sebenar ialah bagaimana masyarakat memahami identiti sendiri dan pada masa sama membina hubungan dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai latar belakang.
“Saya menolak gambaran bahawa kesedaran terhadap sejarah Melayu semestinya bermaksud penolakan terhadap kelompok lain.
“Masyarakat perlu membezakan antara mempertahankan identiti sejarah dengan tindakan mengasingkan diri daripada masyarakat lain,” katanya.
Katanya lagi, perbezaan tersebut penting supaya perbincangan mengenai Tanah Melayu tidak dimanipulasi menjadi pertembungan antara kaum.
“Perbincangan yang lebih ilmiah perlu menggabungkan perspektif sejarah, sosiologi dan Perlembagaan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















