APABILA harga minyak dunia meningkat, kesannya dirasai jauh melangkaui pasaran tenaga kerana ia memberi tekanan kepada kos pengangkutan, harga barangan dan perbelanjaan kerajaan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi rakyat.
Situasi ini mengingatkan bahawa keselamatan tenaga sesebuah negara tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran global. Negara yang memiliki strategi jangka panjang dan mampu memanfaatkan sumber sendiri akan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan masa depan.
Atas sebab itu, biodiesel perlu dilihat melangkaui fungsi sebagai bahan api alternatif. Ia bukan sekadar sebahagian daripada agenda tenaga hijau atau usaha mengurangkan pelepasan karbon, tetapi satu komponen penting dalam strategi negara untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan memanfaatkan sumber tempatan.
Bercakap soal biodiesel, ramai melihat Malaysia dan Indonesia seolah-olah sedang berlumba. Namun realitinya, kedua-dua negara berkongsi matlamat sama, tetapi memilih laluan berbeza.
Indonesia memilih langkah lebih agresif dengan melaksanakan mandat B40. Keputusan itu selari kedudukannya sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia dan mempunyai pasaran domestik yang amat besar.
Penggunaan biodiesel pada kadar lebih tinggi membolehkan negara itu mengurangkan kebergantungan kepada import petroleum dan membantu memperkukuh kedudukan ekonomi domestiknya.
Malaysia pula mempunyai pertimbangan tersendiri.
Walaupun negara menghasilkan sekitar 20 juta tan metrik minyak sawit mentah setiap tahun, sebahagian besar hasil itu dieksport ke pasaran antarabangsa.
Industri sawit antara penyumbang penting kepada pendapatan eksport negara, justeru dasar biodiesel perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara memenuhi keperluan tenaga domestik dan mengekalkan daya saing eksport.
Atas sebab itu, pendekatan Malaysia yang bergerak secara berperingkat daripada B5 kepada B7, kemudian B10 dan seterusnya B20 di kawasan terpilih dan kini menuju B15, bukanlah tanda negara bergerak perlahan.
Sebaliknya, ia mencerminkan pendekatan yang lebih berhati-hati dan tersusun.
Pendekatan ini memberi ruang kepada kerajaan menilai kesiapsiagaan industri, memastikan keserasian teknikal kenderaan, menjamin bekalan Palm Methyl Ester (PME) dan pada masa sama mengelakkan gangguan kepada pasaran sawit.
Dalam erti kata lain, Malaysia tidak perlu berlumba dengan sesiapa. Apa yang penting ialah dasar yang dilaksanakan mampu bertahan dalam jangka panjang.
Secara ringkas, Dasar Biodiesel negara menyasarkan untuk memperkukuh keselamatan tenaga negara, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import, serta menstabilkan harga minyak sawit mentah (MSM) melalui peningkatan permintaan domestik.
Salah satu tumpuan dan strategi utama adalah biodiesel B15, iaitu campuran 15 peratus PME berasaskan minyak sawit dengan 85 peratus diesel petroleum.
B15 bukan sekadar perubahan pada kadar campuran bahan api, ia mencerminkan usaha Malaysia mengoptimumkan sumber tempatan bagi mengurangkan risiko akibat turun naik harga tenaga global, di samping membuka ruang baharu kepada penggunaan komoditi strategik negara.
Dalam menjayakan agenda ini peranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) semakin signifikan. Hari ini, peranan kementerian bukan lagi sekadar membangunkan industri sawit, malah menjadi antara tonggak kepada agenda keselamatan tenaga negara.
Di bawah kepimpinan menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, KPK menerajui pelaksanaan Dasar Biodiesel Negara dengan memastikan keseluruhan ekosistem industri bersedia untuk menyokong peningkatan penggunaan biodiesel.

Bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kementerian menyelaras bekalan Palm Methyl Ester, kesiapsiagaan pengeluar biodiesel, pembangunan piawaian serta pelaksanaan dasar secara berperingkat agar manfaatnya dapat dirasai tanpa menjejaskan bekalan domestik mahupun eksport.
Malah, data menunjukkan Malaysia sebenarnya mempunyai kapasiti yang cukup untuk bergerak lebih jauh.
Industri biodiesel negara kini mampu menghasilkan sekitar 1.5 bilion liter biodiesel setahun dan kapasiti itu masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Ini bermakna peningkatan kepada B15 tidak memerlukan pembinaan kilang baharu secara besar-besaran, sebaliknya mengoptimumkan kemudahan yang sudah tersedia.
Begitu juga dari sudut bekalan minyak sawit. Malaysia menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit mentah setiap tahun, tetapi pelaksanaan penuh B15 hanya memerlukan sekitar 800,000 tan metrik.
Ertinya, negara masih mempunyai ruang mencukupi untuk meningkatkan penggunaan biodiesel tanpa menjejaskan eksport atau bekalan minyak sawit bagi kegunaan makanan.
Hakikat ini penting kerana masih ada tanggapan bahawa biodiesel akan ‘mengorbankan’ industri makanan atau menjejaskan eksport sawit. Sebenarnya, kedua-duanya boleh berkembang seiring jika diuruskan dengan baik.
Lebih menarik, biodiesel memberikan dua manfaat serentak. Pertama, ia mengurangkan pergantungan kepada diesel petroleum yang harganya dipengaruhi pasaran global. Kedua, ia mewujudkan permintaan domestik yang lebih stabil terhadap minyak sawit tempatan.
Apabila pasaran eksport berdepan ketidaktentuan, permintaan dalam negara mampu menjadi penyerap kepada lebihan pengeluaran, sekali gus membantu menstabilkan harga minyak sawit.
Pada akhirnya, kejayaan dasar biodiesel tidak seharusnya diukur semata-mata pada angka campuran B15 atau B20. Yang lebih penting sejauh mana dasar ini benar-benar mengurangkan kebergantungan negara kepada diesel import, memperkukuh keselamatan tenaga, memberi nilai tambah kepada industri sawit dan membuka lebih banyak peluang kepada pekebun kecil serta pemain industri tempatan.
Malaysia tidak perlu berlumba dengan sesiapa. Setiap negara mempunyai struktur ekonomi, corak penggunaan tenaga dan keutamaan yang berbeza. Apa yang lebih penting memastikan setiap langkah diambil berasaskan kekuatan sendiri dan dilaksanakan secara konsisten.
Dalam dunia semakin sukar diramal, keupayaan sesebuah negara tidak lagi diukur hanya pada jumlah rizab minyak yang dimiliki, tetapi juga kebijaksanaan memanfaatkan sumber yang ada.
Bagi Malaysia, kekuatan itu terletak pada industri sawit. Jika diurus dengan baik, biodiesel bukan sekadar menjadi alternatif kepada diesel petroleum, malah boleh muncul sebagai antara tonggak utama kedaulatan tenaga negara pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















