Peguam dari Lawyers for Liberty (LFL) bersama barisan sami dan penganut Sakyamuni Caves Monastery dalam sidang media mengenai perobohan biara buddha bersejarah di pejabat LFL, hari ini.

PETALING JAYA – Lawyers for Liberty (LFL) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Biara Gua Sakyamuni di Gunung Kanthan, Perak daripada ancaman perobohan untuk tujuan aktiviti kuari granit.

Peguam LFL, N. Surendran berkata, kerajaan mempunyai kuasa di bawah Akta Warisan Kebangsaan untuk melindungi biara berusia lebih 100 tahun itu yang terletak dalam kawasan Parlimen Tambun.

Menurutnya, biara berkenaan bukan sahaja penting kepada masyarakat Buddha malah mempunyai nilai sejarah, budaya dan biodiversiti yang lebih luas kepada rakyat Malaysia.

“Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk menyelamatkan biara ini. Kami mahu kerajaan menggunakan Akta Warisan Kebangsaan dan menamatkan ancaman terhadap biara ini dengan segera,” katanya pada sidang media tergempar mengenai isu berkenaan di pejabat LFL di sini hari ini.

Surendran berkata, Gunung Kanthan juga mempunyai kepentingan biodiversiti selain menjadi lokasi rumah ibadat yang menjadi tumpuan masyarakat Buddha di Malaysia.

Katanya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku sehingga golongan sami terpaksa mengadakan sidang media bagi mempertahankan rumah ibadat mereka daripada ancaman.

Sementara itu, peguam LFL, Latheefa Koya berkata, biara dan Gunung Kanthan mempunyai sejarah yang mendahului kewujudan sistem pentadbiran, kerajaan negeri serta sempadan semasa.

Beliau berkata, justeru penggunaan alasan berkaitan status perundangan semata-mata tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memelihara tapak berkenaan sebagai warisan.

“Jika biara dan Gunung Kanthan dapat dipelihara sebagai warisan, ia akan menjadi manifestasi kepada apa yang kerajaan selama ini perjuangkan mengenai sebuah kerajaan yang berbilang kaum dan bertoleransi,” katanya.

Latheefa berkata, permintaan untuk memelihara kawasan itu juga tidak rumit kerana kerajaan hanya perlu mendengar permintaan berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Abbot dan Presiden Sakyamuni Caves Monastery, Bhante Kusala berkata, pihaknya akan terus mempertahankan biara berkenaan yang menjadi tempat amalan keagamaan empat generasi sami.

Beliau berkata, Gunung Kanthan bukan sekadar sebuah bangunan yang boleh dipindahkan sebaliknya mempunyai nilai keagamaan dan alam semula jadi yang tersendiri.

Menurutnya, pihaknya telah berusaha sejak bertahun-tahun lalu supaya kawasan berkenaan dipelihara, termasuk mendapatkan pengiktirafan sebagai warisan negara.

“Kami mahu mempertahankan Gunung Kanthan ini. Tempat ini bukan milik saya atau mereka yang berada di sini, tetapi kami perlu menjaga tempat ibadat dan warisan negara ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri beberapa sami dan penganut Sakyamuni Caves Monastery.

Isu berkenaan timbul susulan ancaman terhadap Biara Gua Sakyamuni yang terletak di Gunung Kanthan, berikutan pajakan selama 30 tahun diberikan pihak berkuasa Kerajaan Negeri Perak kepada sebuah syarikat swasta bagi tujuan kuari granit. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast