KUALA LUMPUR – Architects of Diversity (AOD) menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membentangkan Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman di Dewan Rakyat tahun ini dan tidak menunggu sasaran pewartaan pada 2027 seperti ditetapkan menerusi Dasar Rumah Negara 2026–2035.
AOD mendakwa, kerajaan sudah gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Perumahan Negara 2018–2025 yang menetapkan 2019 sebagai tahun permulaan pelaksanaan bagi penggubalan Akta Sewaan Kediaman.
“Pada 5 Februari 2026, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sendiri menyatakan penggubalan akta itu telah berada pada peringkat akhir dan berharap ia dapat diluluskan Dewan Rakyat dalam tahun ini.
“Ini bukan lagi sekadar kelewatan pentadbiran. Kerajaan telah gagal menepati sasaran yang ditetapkan dalam dasar perumahannya sendiri dan kini meminta rakyat menerima satu lagi sasaran baharu pada 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut AOD, rang undang-undang berkenaan masih belum pernah dibentangkan di Dewan Rakyat walaupun tujuh tahun telah berlalu sejak sasaran awal ditetapkan.
Pertubuhan itu mendakwa, kelewatan berkenaan mengecewakan kerana Dasar Rumah Negara sendiri mengakui kewujudan diskriminasi dalam pasaran sewaan serta keperluan menyediakan perlindungan yang kukuh kepada pihak berkaitan.
AOD berkata, kajian terhadap 35,367 iklan sewaan bilik di Lembah Klang mendapati 42.8 peratus iklan mengecualikan sekurang-kurangnya satu kaum secara terang-terangan.
Kajian susulan terhadap 40,294 iklan di lapan negeri pula mencatatkan kadar 43.6 peratus.
“Diskriminasi juga paling ketara dalam segmen sewaan termurah, iaitu pasaran yang paling banyak bergantung kepada belia, pelajar dan pekerja berpendapatan rendah.
“Angka ini menunjukkan diskriminasi dalam pasaran sewaan bukan kes terpencil, tetapi satu masalah yang berlaku pada skala yang besar,” katanya.
Dalam pada itu, AOD berkata, ketiadaan undang-undang khusus turut menimbulkan kesukaran kepada penyewa yang didakwa ditolak atas dasar kaum, selain tuan rumah yang berdepan isu tunggakan sewa, kerosakan harta atau pertikaian dengan penyewa.
Menurutnya, penyewa yang berdepan diskriminasi tidak mempunyai saluran tuntutan khusus, manakala tuan rumah masih bergantung kepada proses sivil yang mahal dan mengambil masa.
AOD turut mempersoalkan ruang yang diberikan kepada platform swasta untuk menentukan sendiri bagaimana pasaran sewaan berfungsi, termasuk penggunaan pilihan kaum dalam iklan.
Pertubuhan itu berpandangan Akta Sewaan Kediaman merupakan antara reformasi yang boleh diselesaikan KPKT tanpa memerlukan pembinaan unit baharu atau peruntukan pembangunan besar.
“Jika selepas tujuh tahun sebuah rang undang-undang yang berkali-kali dikatakan hampir siap masih belum boleh dibentangkan, persoalannya bukan lagi soal masa, tetapi soal keiltizaman politik kerajaan untuk menunaikan reformasi yang telah dijanjikan sendiri,” katanya.
AOD berkata, rang undang-undang itu perlu merangkumi perlindungan anti-diskriminasi yang jelas dan boleh dikuatkuasakan, penubuhan Tribunal Sewaan Kediaman yang murah serta mudah diakses, selain tanggungjawab yang jelas kepada platform penyenaraian sewaan.
“Selepas tujuh tahun, rakyat berhak mendapat lebih daripada satu lagi janji, satu lagi sesi libat urus dan satu lagi tarikh sasaran.
“Jangan ulangi kegagalan yang sama dengan menjadikan 2027 satu lagi tarikh yang akhirnya berlalu tanpa tindakan. Bentangkan rang undang-undang ini di Parlimen sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette
















