Antara adegan dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah.

KUALA LUMPUR – Menolak tema klise yang biasanya mewarnai pementasan teater tempatan, Teater Muzikal Tomyam Berdarah mengambil pendekatan berbeza dengan memilih genre satira siasatan sebagai ‘perencah’ utama.

Teater terbitan CTRA Production dan diarahkan oleh Aloeng Silalahi itu bakal dipentaskan di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, pada 28, 29 dan 30 Ogos ini.

Menurut Aloeng Silalahi merangkap penulis skrip, idea menghasilkan Teater Muzikal Tomyam Berdarah bertemakan satira siasatan tercetus apabila menghadiri Anugerah Festival Teater UKM 2024.

“Ketika itu saya menerima jemputan untuk mengisi slot persembahan selama 20 minit. Kebetulan tema festival adalah ‘jenayah’, maka menolak klise saya memilih naratif jenayah dalam bentuk komedi dan muzikal sebagai sebuah produk short and sweet.

“Secara peribadi, pemenang pada malam itu pastilah gembira, jadi persembahan penutup daripada karya yang saya tulis dan arahkan sekurang-kurangnya bantu menghiburkan mereka yang tiada rezeki meraih kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas persediaan kumpulan pelajar dan alumni Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA), Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (PUSKEB USIM) yang turut membintangi Teater Muzikal Tomyam Berdarah, Aloeng Silalahi memberitahu, sesi latihan tidak memerlukan masa lama memandangkan ini merupakan pementasan kali keempat.

Antara adegan dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah.

“Proses kali ini agak singkat kerana para pelajar yang terlibat pernah beberapa kali menjayakan teater ini walaupun dalam versi berbeza. Namun, kami sentiasa melakukan proses tambah baik dari segi lagu dan koreografi.

“Selain Anugerah Festival Teater UKM 2024, mereka (pelajar) juga membuat persembahan Teater Muzikal Tomyam Berdarah pada Atra Semester Showcase 2025 dan Festival Teater Segara ASEAN di Universitas Indonesia,” ujar Aloeng Silahahi yang turut merupakan tenaga pengajar di USIM.

Antara pelakon terbabit dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah ialah Karl Shafek dan Juhara Ayob serta kumpulan pelajar dan alumni ATRA di bawah Angkatan Seni Budaya USIM dan UKM.

Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan pementasan teater muzikal interaktif bergenre satira jenayah menggabungkan elemen komedi gelap, siasatan dramatik dan naratif makanan tempatan.

Ia bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti – semua itu disajikan di dalam satu periuk tomyam.

Berlatarkan sebuah restoran yang sedang siap siaga menyertai pertandingan Master Chef Universe, kekecohan bermula apabila pemilik restoran, Chef Rahman ditemui mati di dalam periuk tomyam warisannya sendiri.

Dari situ, dapur menjadi lokasi jenayah dan setiap pekerja menjadi suspek — semuanya ada motif, semuanya menyimpan rahsia!

Inisiatif pementasan ini salah satu bentuk sokongan terhadap usaha kerajaan yang sentiasa proaktif memperkasakan dan mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga tahap profesional.

Apatah lagi, melihat landskap gastronomi semakin berkembang khususnya bidang masakan menjadi pilihan utama sebahagian besar rakyat Malaysia mendorong CTRA Production dan Peran Opera mengangkat industri makanan dan minuman (F&B) dalam pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast