Ahli Dewan Negeri Sabak, Sallehen Mukhyi ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Tindakan mengungkit semula ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 1981 sebagai tidak adil sekiranya ia hanya bersandarkan petikan satu atau dua ayat daripada keseluruhan ceramah.

Ahli Dewan Negeri Sabak, Sallehen Mukhyi berkata, ucapan yang berlangsung selama beberapa jam tidak wajar dinilai berdasarkan petikan pendek yang diambil tanpa konteks.

“Ucapan dua tiga jam dalam ceramah, yang dipetik hanya dalam satu dua ayat.

“Saya rasa tidak adil dan itu isu yang sudah berlalu begitu lama, 40 tahun lebih,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sallehen mempersoalkan isu lama tersebut terus dijadikan bahan perbahasan sedangkan terdapat banyak perkembangan semasa yang boleh dibangkitkan.

“Presiden Pas hari-hari buat amanah. Kenapa tidak petik amanah yang terbaharu dan dikemukakan dalam Dewan Yang Mulia ini?” soalnya.

Sementara itu, tegasnya, tidak wajar melabelkan Pas sebagai pihak yang mengeluarkan fatwa, sebaliknya menjelaskan ia adalah bidang kuasa institusi agama yang berkaitan.

Beliau kemudian mengingatkan wakil rakyat supaya memahami konsep fatwa secara menyeluruh dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan petikan atau bacaan yang terpisah daripada konteks.

“Pas tidak berfatwa. Tapi kalau nak dikatakan fatwa Pas sering berubah, saya nak bertanya sejak bila fatwa itu tidak berubah?” katanya.

Beliau mengambil contoh Imam al-Syafie yang mempunyai pandangan hukum berbeza dalam keadaan dan tempat tertentu sebagai gambaran bahawa perubahan fatwa boleh berlaku berdasarkan keperluan serta suasana.

“Belajar betul-betul. Baca betul-betul tentang fatwa. Jangan baca sekerat-sekerat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast