Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han ketika menjawab soalan lisan pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Selangor Aero Park (SAP) di KLIA Aeropolis dijangka merealisasikan pelaburan bernilai sehingga RM1 bilion pada 2027, sekali gus memperkukuh aspirasi Selangor untuk muncul sebagai antara hab aeroangkasa utama di rantau ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, perkembangan itu disokong kemajuan pembangunan fasa pertama SAP membabitkan kawasan seluas 200 ekar yang kini semakin rancak.

Menurut beliau, sehingga 20 Julai lalu, kerja-kerja tanah bagi fasa berkenaan telah mencapai 100 peratus, manakala pembangunan infrastrukturnya mencapai 48 peratus.

“Kerja-kerja pembangunan infrastruktur bagi kawasan seluas 200 ekar ini dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2027,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ong Chun Wei (PH-Balakong) mengenai kemajuan terkini SAP di KLIA Aeropolis.

Sze Han juga berkata, dari 200 ekar berkenaan, 100 ekar diperuntukkan kepada GE Aerospace bagi pembangunan fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih enjin pesawat (MRO).

Jelasnya, baki 100 ekar pula kini dalam fasa rundingan teknikal dan komersial bersama beberapa pemain industri aeroangkasa berpotensi.

“Kawasan ini merangkumi plot yang dicadangkan bagi pembangunan Centralised Labour Quarters (CLQ) serta lot-lot komersial bagi menyokong ekosistem pembangunan Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis,” katanya.

Menurut Sze Han, SAP setakat ini telah menarik minat syarikat tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai segmen industri aeroangkasa, termasuk MRO, pembuatan, logistik, kargo udara serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Ujarnya, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kini sedang menjalankan rundingan teknikal dan komersial dengan syarikat-syarikat terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, proses memuktamadkan pelaburan dalam sektor aeroangkasa lazimnya mengambil masa lebih panjang berikutan industri berkenaan mempunyai keperluan teknikal serta kawal selia yang tinggi.

“Justeru, proses memuktamadkan sesuatu pelaburan atau perjanjian antara pelabur dan pemilik aset lazimnya mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun,” katanya.

Selain itu, katanya, berdasarkan perkembangan semasa, kerajaan negeri mengunjurkan nilai pelaburan yang dapat direalisasikan melalui SAP pada 2027 mencecah RM1 bilion.

Katanya, kehadiran lebih banyak pemain industri aeroangkasa di SAP bukan sahaja membawa masuk modal, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

“Pelaburan ini akan turut menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast