SHAH ALAM – Selangor berjaya mengelak henti tugas loji rawatan air akibat pencemaran sungai sepanjang 2025 yang disifatkan sebagai pencapaian pertama dalam sejarah negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian itu hasil pelaksanaan Sistem Jaminan Air Mentah (SJAM) sekali gus meletakkan margin rizab air Selangor kini berada pada tahap 16.23 peratus.
“Margin itu mengambil kira penggunaan air penduduk dan sektor industri termasuk pusat data yang semakin berkembang di negeri berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rancangan Selangor kedua (RS2) pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Pada masa sama, katanya, Air Selangor mencatatkan hasil sebanyak RM3.03 bilion pada 2025, antaranya didorong struktur tarif air yang lebih mampan serta geran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk jangka panjang, Pelan Perniagaan Air Selangor memerlukan kapasiti bekalan sehingga 10,038 juta liter sehari menjelang 2055.
“Sasaran itu bertujuan memastikan rizab air sentiasa melebihi paras 15 peratus,” katanya.
Selain itu, katanya, beberapa projek loji rawatan air utama sedang dibangunkan, termasuklah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau Peringkat 1 dan 2 masing-masing berkapasiti 1,400 juta liter sehari.
“LRA Labohan Dagang Fasa 2 pula akan menambah kira-kira 200 juta liter sehari manakala LRA Langat 2 Fasa 2 menambah 760 juta liter sehari.
“Keseluruhannya, projek berkenaan akan meningkatkan kapasiti sebanyak 2,360 juta liter sehari.
“Bagi LRA Sungai Rasau, kemajuan pembinaan kini mencapai 60.19 peratus dan dijangka mula beroperasi pada Jun 2027, manakala keseluruhan Fasa 1 dijangka siap pada Oktober 2027,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















