AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin yang pernah berusaha menyelamatkan UMNO daripada ‘mati’ selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Bagamanapun, jasa itu dibalas dengan pengkhianatan oleh pihak yang pernah dianggap sebagai sahabat, dakwa wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Huraimi Mohamad Husri.
Beliau berkata, Anwar merupakan seorang pemimpin yang baik dan seharusnya dikenang atas usaha membantu menyelamatkan UMNO ketika parti itu berdepan keadaan sukar.
“Pemimpin pertama kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ialah seorang yang sangat baik. Dialah yang mahu menyelamatkan UMNO daripada terus ‘mati’ pada PRU yang lepas.
“Tetapi, apa jasanya dibalas? Adakah beliau dihargai? Adakah beliau dikenang sebagai seorang sahabat? Tidak. Beliau dikhianati,” katanya ketika membahaskan ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Kongres Nasional AMK 2026 di MITC di sini hari ini.
Menurut Muhammad Huraimi, situasi itu menunjukkan sejarah politik sentiasa berulang apabila kepentingan kuasa mengatasi hubungan persahabatan dan prinsip perjuangan.
Beliau berkata, ancaman terhadap negara pada hari ini tidak semestinya hadir dalam bentuk ketenteraan atau senjata sebaliknya boleh muncul melalui permainan kuasa dan pengkhianatan politik.
“Kalau dahulu ketika zaman penjajahan Jepun, mereka datang mengaku sebagai tukang gunting rambut, masuk perlahan-lahan dan membina kepercayaan sebelum akhirnya menjajah Tanah Melayu.
“Hari ini, penjajahan itu tidak lagi datang dengan tentera atau senjata, tetapi datang mengaku sebagai kawan. Senyap-senyap mendekati kita dan mengambil kesempatan,” ujarnya.
Tambahnya, apabila kepentingan kuasa berubah, pihak yang sebelum ini dianggap sebagai sahabat juga boleh bertindak menikam dari belakang.
“Penjajahan bukan lagi dengan senapang tetapi dengan kuasa, pengkhianatan dan kepentingan politik. Sebab itu, kita jangan bina politik atas dasar siapa yang paling lama berkawan dengan kita. Kita bina politik atas dasar siapa yang paling setia kepada rakyat dan perjuangan,” katanya.
Muhammad Huraimi berkata, hubungan politik boleh berubah apabila kuasa menjadi taruhan, namun prinsip perjuangan tidak seharusnya dijual beli demi kepentingan tertentu.
“Kerana kawan boleh berubah apabila kuasa menjadi taruhan. Tetapi prinsip tidak boleh dijual beli. Sejarah akan menghakimi mereka yang sanggup mengorbankan kawan demi kuasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















