AYER KEROH – Wakil Pemuda PKR Melaka, Muhammad Hakim Mohd Hafizudin tampil menghentam Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh yang didakwa sering memainkan naratif Melayu terancam.
Beliau turut menempelak pihak yang melabelnya sebagai liberal hanya kerana pendiriannya dalam parti.
Menurut Muhammad Hakim, tuduhan sedemikian tidak berasas kerana dirinya tetap seorang Melayu dan Islam malah mampu membaca al-Quran serta hadis.
“Kamu tuduh kami liberal. Habis pakai songkok ini liberal lagi? Saya tetap Melayu, Islam. Saya boleh baca al-Quran dan hadis,” katanya ketika membahaskan ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan di sini hari ini.
Muhammad Hakim turut mengkritik sikap pihak tertentu yang didakwanya bercakap berbeza di hadapan dan belakang termasuk ketika mengkritik Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim.
“Kamu tuduh kata Kamil cakap macam-macam. Parti talam. Kamu talam, depan cakap lain, belakang cakap lain. Mana pernah dibuat orang.
“Belakang Kamil, kamu tikam dia, macam kita bukan dalam kerajaan,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak yang sering mendakwa Melayu terancam perlu sedar mereka bukan satu-satunya pihak yang memperjuangkan kepentingan Melayu.
“Lepas itu asyik cakap Melayu terancam. Kami pun Melayu,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menyindir pihak yang gemar membuat kecaman secara terbuka supaya berani bersemuka dan menyelesaikan perbezaan secara matang.
“Asyik cerita, bising saja. Jumpa depan-depan, minta maaf,” tambahnya.
Muhammad Hakim turut mengingatkan kepimpinan PKR supaya tidak hanya sibuk mengkritik pihak lain sebaliknya berani melakukan pembetulan terhadap kelemahan dalam parti sendiri.
“Pesanan kepada kepimpinan PKR, kita boleh marah orang lain, pada masa sama baiki diri kita. Mereka memerhatikan masa jadi pembangkang dan diberi kuasa,” katanya.
Menjelang PRN Melaka, beliau berkata, rakyat tidak memerlukan PKR yang hanya gagal menceritakan kejayaan sebaliknya mahu melihat parti itu berani memperbaiki kelemahan serta membuktikan kompas perjuangannya benar-benar menuju reformasi.
Perkara itu penting dalam menghadapi PRU-16 dan PRN Melaka termasuk keputusan AMK meletakkan saf kepimpinan tertinggi bagi memperkukuh gerak kerja parti.
“Kita hadiahkan buku ucapan dasar Kamil. Ada tuduh kita liberal. Pakai songkok ini apa liberal lagi? Saya tetap Melayu, Islam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

















PKR bukan liberal saja tapi parti paling bangang. Sembang berdegar tapi hasil kosong.Hentam dr akmal rasa mcm diri bagus sekurang-kurang dr akmal kerja tetap jalan x pernah abaikan rakyat DUN dia.