SHAH ALAM – Ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga yang didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Seksyen 7 di sini meluahkan rasa kecewa dan kesedihan selepas anaknya mengalami kecederaan fizikal serta trauma emosi yang serius akibat kejadian tersebut.
Nurhaswaty Zamani, 43, berkata, beliau terkejut apabila anaknya, Adryz Adrian Azwan, pulang ke rumah dalam keadaan cedera sedangkan dihantar ke sekolah dalam keadaan sihat untuk menimba ilmu.
“Saya terkejut kerana kita hantar anak ke sekolah dalam keadaan sihat untuk belajar, tetapi dia balik dalam keadaan begini,” katanya pada sidang media di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Menurutnya, anaknya pada awalnya tidak menceritakan kejadian sebenar kerana dipercayai takut, sebelum akhirnya memaklumkan perkara itu pada keesokan hari.
“Susulan kejadian itu, suami saya segera berjumpa pihak sekolah termasuk pengetua dan guru disiplin bagi mendapatkan penjelasan berhubung insiden berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, anaknya kini menjalani pelbagai pemeriksaan perubatan termasuk imbasan MRI serta ujian pendengaran selepas mengalami kecederaan pada bahagian telinga.
“Selepas kejadian itu, anak saya menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk MRI dan pemeriksaan berkaitan pendengaran,” katanya.
Nurhaswaty berkata, anaknya turut mengadu mengalami telinga berdesing, berdenyut serta bengkak dan perubahan warna pada bahagian telinga dipercayai akibat dipukul.
Lebih membimbangkan, beliau berkata, pemeriksaan awal tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana keadaan telinga mangsa masih belum stabil.
“Doktor juga memberitahu ada kemungkinan pendengarannya terjejas. Sekarang dia sudah kurang mendengar sedikit dan kami perlu membuat rawatan susulan secara berkala sehingga keadaannya benar-benar stabil,” katanya.
Selain kecederaan fizikal, Nurhaswaty berkata anaknya kini menunjukkan tanda-tanda trauma yang ketara sehingga memerlukan pemantauan pakar psikiatri.
“Dia takut untuk pergi sekolah. Dia tidur pun tersentak-sentak dan kadang-kadang teringat semula kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, keadaan emosi anaknya semakin merosot apabila menjadi lebih pendiam, kurang selera makan dan banyak mengasingkan diri di bilik.
“Buat masa ini dia banyak duduk dalam bilik, kurang makan dan emosinya jatuh. Kami tidak benarkan ramai orang datang melawat kerana mahu dia berehat dan pulih,” katanya.
Dalam masa sama, Nurhaswaty turut mempersoalkan tahap keselamatan dan pemantauan di sekolah berkenaan, selain mendakwa isu disiplin pernah berlaku sebelum ini.
Beliau berkata, tindakan tegas tidak seharusnya hanya diambil selepas sesuatu kes menjadi perhatian umum.
“Bagi kami, isu buli ini bukan perkara pertama berlaku. Banyak kejadian buli berlaku di sekolah rendah dan menengah.
“Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan tegas kerana perkara ini melibatkan keselamatan dan masa depan anak-anak,” katanya.
Nurhaswaty turut meluahkan kebimbangan terhadap kemungkinan sesetengah kes tidak ditangani secara telus demi menjaga imej institusi pendidikan.
“Adakah menjaga nama baik sekolah lebih penting daripada keselamatan anak-anak kita? Kita perlu seimbangkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata walaupun pernah mempertimbangkan untuk memindahkan anaknya ke sekolah lain, kekangan kekosongan menjadi penghalang.
Namun, katanya, penyelesaian jangka panjang tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemindahan mangsa.
“Semua sekolah sepatutnya selamat untuk anak-anak kita. Bukan kerana berlaku kes buli di satu sekolah, anak mangsa pula yang terpaksa dipindahkan.
“Kita mahu sekolah itu sendiri berubah dan memastikan keselamatan semua pelajar,” katanya.
Nurhaswaty turut berharap Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah mengambil serius isu keselamatan pelajar, termasuk faktor kekurangan guru dan jumlah pelajar yang ramai yang boleh menjejaskan pemantauan di sekolah.
“Anak saya dihantar ke sekolah dalam keadaan sihat. Saya sangat kecewa apabila dia balik dalam keadaan cedera dan trauma.
“Saya harap selepas ini tiada lagi kejadian seperti ini berlaku di sekolah tersebut atau mana-mana sekolah lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















