MONTREAL – Seorang maut di barat Kanada selepas sebuah pesawat kecil melanggar sebuah kenderaan ketika melakukan pendaratan kecemasan di atas jalan raya, menurut polis.
Kejadian berlaku pada petang Khamis di Prince George, British Columbia, kira-kira 700 kilometer (435 batu) di utara Vancouver.
Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan pesawat kecil itu berada di tepi jalan, tersadai di atas kawasan berumput berhampiran kawasan hutan.
“Polis dukacita mengesahkan terdapat seorang mangsa maut dalam kejadian ini, iaitu penumpang salah sebuah kenderaan,” kata Polis Diraja Kanada (RCMP) dalam satu kenyataan.
Belum dapat dipastikan sama ada terdapat mana-mana individu di dalam pesawat berkenaan yang mengalami kecederaan. – Agensi
















