Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memberi keutamaan kepada pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH), khususnya audit forensik terhadap 14 pelaburan yang dikenal pasti bermasalah.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) merangkap Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, langkah itu lebih baik berbanding mewujudkan RCI baharu atau badan khas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata, RCI sedia ada telah memberikan arah yang jelas mengenai perkara yang perlu diteliti dan disiasat.

“Daripada PAS mendesak RCI 2.0 dan UMNO mencadangkan badan khas PAC, lebih baik kerajaan fokus melaksanakan syor-syor RCI Tabung Haji yang telah sedia ada.

“RCI memberikan arah yang jelas, termasuk syor supaya dibuat audit forensik terhadap 14 pelaburan TH yang dikenal pasti bermasalah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sheikh Umar berkata, audit forensik itu penting bagi mengenal pasti secara terperinci proses di sebalik setiap keputusan pelaburan dipersoalkan, termasuk pihak yang mencadang dan meluluskan sesuatu pelaburan.

Jelasnya, audit berkenaan perlu meneliti asas penilaian yang digunakan, tahap risiko dikenal pasti serta bagaimana keputusan pelaburan tersebut akhirnya membawa kepada kerugian besar.

“Lebih penting, audit perlu meneliti sama ada wujud kecuaian, konflik kepentingan, campur tangan, salah urus atau pelanggaran undangundang dalam proses pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya audit forensik menemukan unsur jenayah atau salah laku, dapatan berkenaan perlu diserahkan kepada agensi penguatkuasaan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Sheikh Umar menegaskan kerajaan perlu memastikan kesemua 14 pelaburan yang disyorkan untuk diteliti RCI disiasat secara menyeluruh tanpa memilih kes berdasarkan nilai politik atau tahap perhatian awam.

Menurutnya, tindakan hanya terhadap sebahagian kes tidak memadai sekiranya matlamat sebenar adalah untuk mendapatkan gambaran lengkap mengenai bagaimana dana pendeposit TH diuruskan.

“Kerajaan perlu memastikan kesemua 14 pelaburan yang disyorkan RCI diteliti secara menyeluruh, bukan sekadar mengambil tindakan terhadap sebahagian kes yang lebih mendapat perhatian politik,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendeposit mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana wang mereka diuruskan, termasuk sebab sesuatu keputusan pelaburan dibuat dan pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku kecuaian atau salah laku.

“Usaha mencari pihak yang bertanggungjawab tidak seharusnya terhenti pada perdebatan politik mengenai sama ada perlu diwujudkan RCI 2.0 atau badan khas PAC,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, mekanisme sedia ada perlu dimanfaatkan terlebih dahulu bagi memastikan setiap persoalan yang timbul berkaitan 14 pelaburan berkenaan mendapat jawapan berdasarkan bukti dan dokumen.

“Daripada berlumba-lumba mencadangkan RCI 2.0 atau badan khas baharu, lebih baik kerajaan mempercepat audit forensik 14 pelaburan tersebut dan membawa mereka yang terbukti bersalah ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya lagi, pendekatan itu juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar perkara berkaitan pengurusan TH disiasat secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.

“Keutamaan kini perlu diberikan kepada usaha mendapatkan kebenaran dan akauntabiliti berdasarkan hasil siasatan, bukannya menambah lapisan mekanisme baharu yang berpotensi melanjutkan proses tanpa menyelesaikan persoalan asas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here