Maszlee Malek mengenakan tali leher Maktab Sultan Abu Bakar ketika mengangkat sumpah sebagai ADUN Puteri Wangsa di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

JOHOR BAHRU – Selepas mencabar Menteri Besar Johor berdebat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Julai lalu, Dr Maszlee Malik akhirnya ‘bertemu’ Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Pertemuan tersebut adalah pertama kali selepas bekas Menteri Pendidikan itu menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada PRN Johor yang lalu, manakala Onn Hafiz pula menang di kerusi DUN Machap.

Bagaimanapun tiada ‘debat’ atau pertikaman lidah sebaliknya mereka ‘bertemu’ untuk masing-masing mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan Machap pada hari ini.

Maszlee pada masa sama mencuri perhatian apabila mengenakan tali leher Maktab Sultan Bakar ketika mengangkat sumpah sebagai ADUN Puteri Wangsa.

Maszlee yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam kembali ke DUN Johor selepas memenangi kerusi Puteri Wangsa pada PRN Johor Ke-16 yang lalu.

Beliau berjaya merampas kerusi berkenaan untuk Pakatan Harapan (PH) dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 41,821 undi.

Kemenangan itu menyaksikan Maszlee menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling yang memperoleh 36,077 undi, sekali gus mencatatkan majoriti sebanyak 5,744 undi.

Turut bertanding ialah Sharifah Rashifa Syed Abdul Rashid Aljunied daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang memperoleh 5,887 undi, Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dengan 2,332 undi serta calon Bebas, Wang Wee Siong yang mendapat 227 undi.

Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini disandang oleh Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA, yang tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Sebelum itu, kesemua 56 ADUN Johor mengangkat sumpah jawatan di depan Speaker DUN Johor, Datuk Zahari Sarip pada persidangan pertama DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor ke-16, manakala PH pula meraih kemenangan di lapan kerusi.

Enam kerusi menerusi DAP di Skudai, Mengkibol, Bentayan, Senai, Penggaram dan Stulang, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) menang DUN Simpang Jeram dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Puteri Wangsa.

Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang lebih dikenali sebagai English College (EC), merupakan antara institusi pendidikan berprestij dan bersejarah di Johor Bahru.

Ditubuhkan pada 1914, sekolah itu terkenal kerana melahirkan ramai tokoh yang mencorakkan kepimpinan negara dan negeri.

Antara tokoh terkenal yang pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam serta bekas Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Maszlee yang juga bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar turut berkongsi gambar mengenai pemakaian tali leher berkenaan menerusi hantaran dalam Facebook miliknya.

Hantaran itu turut disertakan tanda pagar #DUNPuteriWangsa, #dunjohor dan #maktabsultanabubakar#.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here