Pergerakan kapal di Selat Hormuz. - Foto AFP

ISTANBUL – Kira-kira 400 kapal dan 6,000 pelaut terkandas di Teluk, enam bulan selepas perang di Asia Barat bermula, menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

“Walaupun sesetengah kapal dan kru berjaya meninggalkan Teluk, sehingga 400 kapal yang membawa kira-kira 6,000 pelaut tidak dapat berlepas dengan selamat sejak konflik bermula,” kata Arsenio Dominguez, ketua IMO.

Beliau menyifatkan situasi di Selat Hormuz, jalan air strategik yang menjadi laluan bagi satu perlima perdagangan minyak global, sebagai “belum selesai.”

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengesahkan sekurang-kurangnya 70 serangan terhadap perkapalan antarabangsa berlaku sejak perang bermula pada 28 Feb, yang mengakibatkan kematian 19 pelaut.

Dominguez menegaskan gangguan terhadap rantaian bekalan penting bagi bahan api dan baja membawa akibat yang “serius” kepada masyarakat dan ekonomi di seluruh dunia.

Beliau berkata situasi itu amat membimbangkan bagi ribuan pekerja yang “tidak bersalah” yang hidup dalam keadaan “risiko dan ketidakpastian yang tinggi.”

Dominguez menggesa agar wujud “semangat politik diperbaharui” dalam kalangan negara anggota dan industri perkapalan bagi memulihkan kebebasan pelayaran melalui jalan air tersebut.

Amerika Syarikat dan Iran menandatangani memorandum persefahaman pada Jun dan memulakan rundingan ke arah perjanjian muktamad.

Bagaimanapun, rundingan itu kemudiannya terhenti akibat perbezaan pendapat mengenai jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz. – BERNAMA-ANADOLU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here