PATKOR OPTIMA bagi memperkukuhkan kedaulatan perairan sempadan dilaksanakan bermula 4 hingga 13 Jun ini.

GEORGE TOWN – Malaysia dan Indonesia melalui agensi penguatkuasaan negara masing-masing sekali lagi akan melaksanakan Operasi Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA) bermula 4 hingga 13 Jun ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi bersepadu yang memasuki siri ke-31 itu merupakan operasi dwi-tahunan yang diadakan secara kolaboratif dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka yang merupakan laluan utama industri perkapalan dunia.

Beliau yang juga Ketua Tim Perancang Operasi Maritim berkata, kerjasama serta kefahaman penguatkuasaan undang-undang antara penguat kuasa dari kedua-dua buah negara amat penting dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

“Salah laku jenayah seperti penyeludupan migran, penyeludupan dadah, kontraban serta isu pencerobohan bot nelayan merupakan kegiatan jenayah yang lazim berlaku di Selat Melaka.

PATKOR OPTIMA dilaksanakan dengan kerjasama Indonesia.

“Justeru koordinasi operasi menerusi PATKOR OPTIMA ini amat diperlukan agar kesejahteraan perairan kedua-dua negara sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram dan selamat.

“PATKOR OPTIMA juga penting dalam meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat awam terutamanya komuniti maritim serta komuniti perdagangan perkapalan bahawa perairan Selat Melaka sentiasa dalam keadaan selamat dan aman,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 4 Jun lalu, Majlis Perasmian PATKOR OPTIMA 31A/2024 telah diadakan secara bersama dengan Direktur Operasi Laut, Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) merangkap TPOM PATKOR OPTIMA Republik Indonesia, Laksamana Pertama BAKAMLA Basri Mustari

Selain APMM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Laut Malaysia (JPM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut terlibat dalam PATKOR OPTIMA ini.

Untuk rekod pelaksanaan PATKOR OPTIMA sebelum ini telah mencatatkan 85 tangkapan di negara ini melibatkan pelbagai kesalahan, manakala Republik Indonesia pula, merekodkan 176 pemeriksaan di laut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast