KUALA LUMPUR – Seorang bekas pekerja syarikat pemaju perumahan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3,500 bagi membantu mempercepatkan proses tuntutan bayaran berhubung kerja-kerja perkhidmatan kawalan keselamatan di tapak projek sebuah kondominium lima tahun lepas.
Berdasarkan pertuduhan, R. Malliga, 42, didakwa menerima rasuah berjumlah RM500 sebanyak tujuh kali secara berasingan di antara 26 November 2019 hingga 2 September 2020 daripada seorang wakil bagi syarikat Angkasa Security Services Sdn Bhd yang membuat tuntutan bayaran di tapak projek Trio By Setia.
Oleh yang demikian tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Kesalahan yang sama itu juga boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.
Terdahulu, beliau hadir ke mahkamah hari ini tanpa diwakili peguam manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Mohd Aliff Shahruzaman.
Sebelum itu, pendakwaan mencadangkan mahkamah meletakkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun Malliga membuat rayuan supaya jumlah tersebut dikurangkan kerana beliau tidak lagi bekerja dan disara sepenuhnya oleh suaminya.
“Saya nak buat rayuan minta kurangkan jumlah jaminan sebab susah mahu cari duit sekarang. Buat masa ini suami seorang sahaja yang bekerja dengan gaji lebih kurang RM2,700 sebulan, dia yang uruskan perbelanjaan di rumah. Dia satu-satunya bantu saya,” katanya sambal menangis di depan Hakim, Suzana Hussin.
Selepas mempertimbangkan rayuannya, hakim kemudian menetapkan RM7,000 sebagai jumlah jaminan untuk semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di pejabat SPRM yang terdekat sekali setiap bulan.
Mahkamah turut mengarahkannya supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan berkaitan kes tersebut.
Dalam masa yang sama, hakim menetapkan 12 September depan bagi sebutan semula dan prosiding pengurusan kes. – MalaysiaGazette
















