PETALING JAYA – Kira-kira 700 pembeli rumah Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Rantau, kesal apabila projek perumahan yang sepatutnya siap pada 2019 masih terbengkalai hampir tujuh tahun sehingga hari ini.
Wakil pembeli, Farghani Mohammad berkata, lebih malang apabila mereka dijanjikan projek ini bakal siap September tahun ini sedangkan kemajuan projek hanya 0.2 peratus setiap bulan.
“Kami kecewa dengan peratusan kemajuan projek yang terkini, setiap bulan 0.2 peratus naik.
“Sedangkan mereka maklumkan anggaran siap adalah hujung September ini, kalau 0.2 peratus, ia memerlukan 15 bulan untuk disiapkan.
“Kalau hujung September ini ialah bulan depan, dalam tempoh satu bulan lagi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Farghani bersama 35 pembeli projek rumah PR1MA Rantau, Negeri Sembilan hadir untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada pengurusan tertinggi PR1MA di ibu pejabatnya di Ara Damansara.
Projek PR1MA Bandar Ekar, Rantau yang dimulakan pada 2017 sepatutnya selesai Januari 2019, membabitkan pembinaan 776 unit rumah iaitu 210 rumah satu setengah tingkat dan 566 adalah rumah dua tingkat.
Menurut Farghani, jika peratusan kemajuan projek itu hanya setakat 0.2 peratus sahaja, mana mungkin PR1MA mampu untuk menyiap dan menyerahkan kunci rumah kepada pembeli pada hujung bulan depan.
“Kami boleh jangka mesti PR1MA akan tukar lagi tarikh seperti biasa setelah tujuh tahun, itu cara dia kerap kali tukar tarikh.
“Sebab itu sebelum sampai September ini, kami berkumpul supaya dapat pihak berwajib buka mata untuk bantu kami.
“Kami tak nak nanti bila masuk September nanti, PR1MA bagi tarikh baharu dan mereka akan beritahu anggaran siap projek ini pada akhir tahun ini,” katanya.
Lebih malang katanya, ada dalam kalangan pembeli itu sudah meninggal dunia sama secara bersendiriann mahupun dengan pasangan suami isteri.
“Kita minta tolong bukan sahaja pihak PR1MA malah kita nak minta Menteri Perumahan dan wakil rakyat datang membantu, kami tunggu sudah hampir tujuh tahun tak siap-siap, janji demi janji.
“Ada pembeli-pembeli kami yang dulu beli dengan suami sudah meninggal, ada juga pembeli yang sudah meninggal dunia.
“Jadi berikan bantuan secukupnya kepada projek PR1MA Rantau Negeri Sembilan ini supaya dapat siap seperti yang dijanjikan dan biarlah berkualiti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















