Onn Hafiz ketika berucap dalam sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM26 juta sebagai inisiatif tambahan Belanjawan Joor 2025, kata Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menteri Besar Johor itu memberitahu, daripada jumlah itu RM1 juta akan digunakan untuk pembinaan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia – Johor (IMFC-J) di Forest City.

Selain itu, katanya, sebanyak RM800,000 untuk 15 kem tentera manakala RM750,000 diperuntuk bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan 13 ibu pejabat polis daerah (IPD) di Johor.

“Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, RM200,000 diperuntukkan bagi Persatuan Pesara Polis dan RM200,000 diperuntukkan bagi Persatuan Pesara Tentera.

“Sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media pula, RM150,000 diperuntukkan kepada Kelab Media Johor,” katanya semasa ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata, selain itu beberapa kawasan DUN juga menerima peruntukan tersebut.

Katanya, dana itu melibatkan DUN Rengit sebanyak RM299,000 untuk projek bina baharu rumah Orang Asli dan membaik pulih pagar jambatan.

Di DUN Medan pula, katanya, sebanyak RM78,000 diperuntukan untuk membaik pulih gelanggang Futsal Parit Jayus, Sri Medan.

“Di DUN Gambir pula, sejumlah RM1 juta untuk membina Stadium Mini Parit Jarum Tengah serta di DUN Senggarang RM220,000 untuk pembinaan dua pondok perhentian bas/teksi, membaik pulih tebing jalan, pagar jambatan, membersihkan sisa tanah di bahu jalan, pembersihan kawasan akibat limpahan air pasang dan kerja-kerja membuang sisa longgokan tanah,” katanya.

Menurutnya, bagi DUN Parit Raja, sebanyak RM150,000 untuk baik pulih dan naik taraf balai raya, dewan orang ramai dan menaik taraf culvert.

Onn Hafiz berkata, di DUN Pemanis sebanyak RM500,000 untuk membina Dewan Terbuka Taman Jenalin sementara di DUN Semerah, RM116,000 untuk membina tebing jalan dan pembersihan parit.

“Bagi DUN Bukit Pasir, RM500,000 untuk pembinaan Dataran Pagoh Jaya dan naik taraf dataran. DUN Buloh Kasap, RM200,000 untuk kerja-kerja baik pulih Dewan Serbaguna Kampung Balai Badang, Segamat dan di DUN Serom, RM50,000 untuk naik taraf Dataran Keluarga Serom.

“Untuk DUN Yong Peng, RM60,000 untuk pembinaan dan pemasangan culvert dan DUN Jementah mendapat RM200,000 untuk membina pusat sehenti atau gerai jualan,” katanya.

Bagi menangani masalah banjir pula, katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melaksanakan beberapa inisiatif.

“Ini melibatkan RM1.5 juta bagi kerja-kerja membina on site detention dan tambahan culvert di Jalan Mustika Kampung Melayu; RM8 juta bagi kerja-kerja membina on site detention di Jalan Dato’ Sulaiman, Johor Bahru dan RM10 juta bagi kerja-kerja membina dan menaik taraf flood retention pond, box culvert dan empat unit pam sedia ada di Kampung Mohd Amin,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast