KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan penggantian sijil lahir dan kad pengenalan secara percuma kepada mangsa banjir yang kehilangan dokumen tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif tersebut diharap dapat membantu memudahkan urusan mangsa yang terkesan dengan bencana itu ketika ini.
“Selesai musim banjir ini, Pegawai JPN akan membuka kaunter dan menggerakkan bas bergerak ke kawasan terjejas banjir untuk memastikan urusan dapat dilakukan dengan segera,” katanya menerusi aplikasi X hari ini.
Terdahulu, kata Saifuddin, agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan turut membantu mangsa-mangsa banjir yang melanda di beberapa buah negeri pada waktu ini.
Sebagai rekod, seramai 5,600 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan Pantai Timur.
Menurut Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohammad Ab Rahman, pihaknya telah memberi arahan berkenaan misi bantuan itu kepada para anggota sejak September lalu.
Katanya, kekuatan anggota terkini iaitu seramai 120,000 orang mencukupi jika perlu digerakkan serentak untuk misi bencana banjir. – MalaysiaGazette
















