KUALA LUMPUR – Seramai 10 lelaki tempatan ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel dalam beberapa serbuan di Bukit Jalil dan Rawang pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 50 tahun berhubung kejadian itu pada 12 September lalu.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan kesemua suspek yang berusia 18 hingga 44 tahun.
“Turut dirampas 54 batang potongan kabel berlabel Telekom Malaysia (TM), tiga kereta jenis Proton Wira dan beberapa peralatan pemotong kabel.
“Motif perbuatan mencuri ini adalah untuk dijual semula sebagai barangan lusuh,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Azam, semakan mendapati sembilan individu memiliki rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan narkotik.
Ujian air kecing yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati lima daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Berikutan itu, kesemua suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 13 Disember bagi siasatan dibawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















