ISKANDAR PUTERI – Seorang pemuda yang memiliki 18 rekod jenayah lampau diberkas bagi membantu siasatan kes pecah kedai dan melarikan motosikal pada awal bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, penahanan tersebut dilakukan susulan laporan diterima daripada seorang lelaki berusia 30 tahun pada 1 Disember lalu berkaitan kejadian pecah kedai dan melarikan motosikal di Gelang Patah.
“Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari balai polis Gelang Patah bersama bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat tangkapan terhadap lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu.
“Hasil semakan mendapati suspek memiliki 14 rekod lampau jenayah dan empat rekod jenayah dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil saringan awal air kencing suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
Menerusi tangkapan terbabit ujarnya, polis merampas peralatan seperti tiga spanar, sebuah pemutar skru, pisau boleh laras dan gunting serta ‘allen key’.
Polis juga merampas sebuah motosikal Yamaha YZR-R25 warna hitam, katanya.
Suspek katanya, ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari mulai 11 hingga 17 Disember ini untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan dengan kesalahan mencuri dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sampai 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebatan,” katanya.
Kumarasan berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 379a kanun keseksaan iaitu mencuri motosikal, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.
“Kami terus komited membanteras aktiviti jenayah. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486,” katanya.- MalaysiaGazette
















