Masing-masing mereka dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

GEORGE TOWN – Empat ahli sindiket along mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melarikan secara paksa seorang wanita Indonesia, minggu lalu.

Keempat-empat tertuduh, R. Narindran,30; Mohammad Syafiq Segnar Abdullah, 29; M. Areveen Raj, 28; dan R. Jayruban 25, minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama-sama dengan seorang yang masih bebas melarikan seorang wanita Indonesia berusia 41 tahun secara paksa dengan niat telah menyebabkan kurungan salah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 hingga 7 Disember lalu antara jam 8 malam hingga 11.45 pagi di tepi Jalan Kelawai, Pulau Tikus di sini, dan di sebuah kondominium di Jalan Baru, Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.

Ketika prosiding, Nurul Atikah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah menetapkan syarat tambahan yang ketat sekiranya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.

Mahendran kemudian merayu agar mahkamah membenarkan kesemua anak guamnya diberikan jaminan selain akan mematuhi syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

“Anak guam saya, Narindran bekerja sebagai kontraktor dengan gaji bulan RM1,800 perlu menyara ibu bapa, isteri serta anaknya yang kini berusia lapan bulan manakala Mohammad Syafiq Segnar juga bekerja sebagai kontraktor dan perlu menanggung ibu, kakak yang sakit serta anak kakaknya.

“Manakala Areveen Raj dan Jayruban masing-masing merupakan pemandu lori dengan pendapatan bulan RM2,000 juga mempunyai tanggungan menyara keluarga,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan masing-masing perlu lapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak dibenarkan menganggu mangsa serta mangsa.

Mahkamah menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga ahli sindiket ah long culik, kurung wanita Indonesia direman

MalaysiaGazette pada 8 Disember lalu melaporkan, tiga lelaki direman susulan menculik wanita Indonesia berusia 41 tahun

Difahamkan, mangsa yang merupakan pekerja bahagian pembersihan bersama dua lagi rakan senegaranya melakukan pinjaman masing-maaing berjumlah RM1,000 dengan sindiket tersebut pada tahun lalu.

Bagaimanapun, dua rakannya itu dikatakan gagal membayar pinjaman tersebut sebelum sindiket berkenaan bertindak melarikan mangsa menggunakan sebuah pacuan empat roda pada 5 Disember lalu di sebuah lokasi di Pulau Tikus di sini.

Mangsa berjaya melarikan diri selepas dikurung di sebuah kondominium di Perai dekat sini, selama dua hari sebelum membuat laporan polis dengan bantuan dengan penduduk tempatan di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast