Kereta mewah terbakar selepas pemandunya dikatakan melanggar seorang penunggang motosikal di Kilometer 8, Lebuhraya Setiawangsa- Pantai (SPE) di sini semalam.

KUALA LUMPUR – Kereta mewah terbakar selepas pemandunya dikatakan melanggar seorang penunggang motosikal di Kilometer 8, Lebuhraya Setiawangsa- Pantai (SPE) di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 12.35 tengahari melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes GLE450 AMG Coupe.

“Hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun itu telah melanggar penunggang motosikal jenis Honda Vario 160 yang sedang bergerak lurus di lorong kiri berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang tercampak atas jalan raya mengalami pendarahan di kepala, muka serta perut dan pemandu terbabit dilihat terus memandu tanpa henti.

“Lelaki itu kemudian terus memandu ke arah Wangsa Maju namun tidak lama kemudian kenderaannya terbakar di Kilometer 18.1 lebuh raya sama, berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zamzuri, semakan lanjut mendapati kereta terbabit terbakar di bahagian bonet hadapan sebelum terhenti sepenuhnya di lokasi kejadian.

“Pemandu itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun telah ditahan pihak polis dan permohonan reman dibuat hari ini jam 10 pagi untuk siasatan lanjut.

“Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman terhadapnya telah dibuat,” jelasnya.

Semalam, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur telah menerima laporan insiden itu sekitar pukul 1.38 tengah hari dan kebakaran memusnahkan sepenuhnya di bahagian enjin kereta terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Hotline Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast