BUKIT MERTAJAM – Seorang kerani bank kerugian RM379,200 akibat diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, mangsa berusia 48 tahun itu dikatakan menerima mesej daripada individu tidak dikenali pada 11 Februari lalu yang mengajaknya belajar melakukan pelaburan.

Katanya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai Alyssa itu menjanjikan pulangan lumayan sebelum meminta mangsa memuat turun aplikasi XGI HORIZON PRO untuk melihat rekod pelaburan tersebut.

“Mangsa berminat dengan pulangan tinggi yang ditawarkan itu membuat pelaburan RM10,000 dan dalam tempoh tiga jam aplikasi tersebut menunjukkan dia menerima pulangan RM1.6 juta.

“Susulan itu, suspek memberitahu mangsa perlu membayar pelbagai kos perkhidmatan untuk mengeluarkan keutungan yang diperoleh menerusi pelaburan tersebut.

“Mangsa kemudian membuat 18 transaksi pindahan duit ke enam akaun bank berbeza antara Februari hingga pertengahan April lalu dengan jumlah keseluruhan RM379,200,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Tambah Helmi, wanita itu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas memaklumkan kejadian kepada suaminya.

“Mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kejadian pada Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast