Reman wanita berusia lingkungan 40-an telah dikeluarkan Majistret Mahkamah Shah Alam, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman seorang pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sabak Bernam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan membuat pindahan wang peruntukan dari akaun jawatankuasa berkenaan ke akaun peribadi miliknya tanpa kebenaran mana-mana pihak.

Perintah reman selama empat hari sehingga 26 April 2025 terhadap suspek wanita berusia lingkungan 40-an telah dikeluarkan Majistret Noora Nisa Ngadirin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Berdasarkan maklumat diterima, terdapat pengerusi-pengerusi JPKK di daerah berkenaan yang menyalahgunakan kuasa dengan membuat pindahwan wang dari akaun JPKK ke akaun persendirian bagi kegunaan peribadi tanpa kebenaran ahli JPKK.

“Mereka turut dipercayai membuat pembelian aset tanpa kebenaran mana-mana pihak selain tidak mengemukakan bukti-bukti pembayaran perbelanjaan kepada ahli mesyuarat JPKK.

“Susulan maklumat ini, SPRM telah menahan seorang wanita kira-kira jam
3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor,” menurut sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast