KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Nakhaie Ahmad menarik diri daripada pencalonan bagi jawatan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bagi sesi 2025-2028.
Ahli Parlimen Arau itu dan Nakhaie sebulat suara memberi laluan dan sokongan sepenuhnya kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg untuk menerajui badan bukan kerajaan itu untuk tempoh tiga tahun.
“Setelah meneliti keperluan dan kepentingan organisasi, serta mengambil kira keupayaan dan kepimpinan dimiliki Premier Sarawak, kami menarik diri secara rasmi daripada pencalonan bagi jawatan Yang Dipertua Perkim.
“Penarikan diri ini dibuat dengan penuh rela hati dan iltizam, sebagai tanda sokongan tidak belah bahagi terhadap pencalonan Premier Sarawak bagi menerajui kepimpinan tertinggi Perkim.
“Ia sekali gus membuka ruang kepada Premier Sarawak untuk menyandang jawatan Yang Dipertua Perkim secara menang tanpa bertanding,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkim, di sini, hari ini.

Sebelum ini, jawatan Yang Dipertua Perkim digalas oleh Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad hampir 19 tahun, bermula 2006 hingga Mei 2025.
Turut menerajui NGO itu termasuk Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selama 15 tahun dari 1974 hingga 1989.
Shahidan berkata, pemilihan jawatan itu akan dijalankan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-64 Perkim di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi dalam masa terdekat.
“Kami yakin kepimpinan beliau akan membawa Perkim ke tahap lebih cemerlang, menyeluruh dan inklusif, terutama dalam memperkukuh usaha dakwah serta pembangunan sahsiah dan kebajikan umat Islam di seluruh negara.
“Kami memberi sokongan padu kepada pelantikan Premier Sarawak sebagai Yang Dipertua Perkim dan menyeru seluruh ahli memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan organisasi ini,” katanya.
Susulan penarikan pencalonan itu, beliau, Nakhaie serta penceramah bebas, Mohd Ridhuan Tee Abdullah akan menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Yang Dipertua Perkim.
“Saya, Datuk Seri Shahidan Kassim akan bertanding untuk jawatan Naib Yang Dipertua pada pemilihan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















