Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah), Pengerusi MLKN, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Haji Abdul Aziz Zainal (lima dari kanan) dan Panglima Angkatan Tentera Janeral, Datuk Mohd Nizam Jaafar (empat dari kanan) bergambar bersama penerima watikah di majlis Pelancaran Program Latihan Khidmat Negara 3.0 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara di Wisma Pertahanan Mindef, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 5 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diperkenalkan semula sekurang-kurangnya untuk melahirkan rakyat berjiwa patriotik serta sanggup berkorban untuk negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun Kementerian Pertahanan komited untuk menjayakan PLKN 3.0 namun semua pihak berperanan untuk memupuk semangat patriotisme khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Kalau pun tidak semua 100 peratus rakyat negara kita ini patriotik cintakan negara dan sanggup berkorban untuk negara, setidak-tidaknya kita usahakan secara bersungguh-sungguh.

“Ia adalah satu proses atau intervensi yang akan memastikan terdapat di tengah-tengah kelompok masyarakat dalam negara kita yang mempunyai semangat patriotisme dan sayangkan kepada negara,” katanya berucap pada Majlis Pra-Pelancaran PLKN 3.0 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di Wisma Pertahanan hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mohamed Khaled juga berkata, usaha untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan.

“Kita mahu masyarakat kita sentiasa melahirkan generasi yang sedar akan peranan, tanggungjawab dan nilainya kepada tanah air.

“Kita mahu generasi muda mewujudkan sekumpulan anggota masyarakat yang cakna akan isu-isu keselamatan dan kedaulatan yang faham kepentingan perpaduan, budaya dan keupayaan.

“Malahan bertoleransi terhadap perbezaan dan kerencaman bangsa serta sanggup memberikan yang terbaik kepada negara ini dalam kapasiti dan cara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pelantikan barisan kepimpinan baharu MLKN itu, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dapat mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti, keseriusan dan matlamat murni PLKN 3.0.

“Bahkan ia membuka ruang untuk segala pengalaman, sudut pandangan serta pengalaman kepimpinan yang akan dikongsi dan dimanfaatkan untuk kebaikan negara.

“Ahli-ahli MLKN bertanggungjawab memberi nasihat kepada kerajaan, merangka dasar strategik PLKN, memantau pelaksanaan program, serta menyelaras penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

“Mereka turut berperanan dalam memastikan tadbir urus kewangan yang cekap, menjaga kebajikan pelatih, dan menilai keberkesanan modul latihan secara berterusan,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 10 ahli baharu menerima watikah pelantikan yang akan menganggotai MKLN 2025 termasuk Panglima Angkatan Tentera Ke-16, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dilantik sebagai pengerusi badan itu.

Turut dilantik ialah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; KSU Kementerian Pendidikan, Datuk Aminuddin Hashim; KSU Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Aneese Ibrahim; KSU Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Nagulendran Kangayatkarasu; KSU Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.

Manakala tiga lagi wakil kaum utama dan satu wakil Sabah, antaranya Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia, Soon Honn Keong; Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Sivamurugan Pandian dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ag. Shahminah Ag Sahari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast