KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan kenderaan yang digunakan penculik Datin Seri Pamela Ling yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk memberi keterangan pada 9 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ketiga-tiga kenderaan terlibat menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Usaha dalam siasatan kita sekarang adalah mengesan jenis kenderaan yang telah dikenal pasti. Hasil siasatan buat masa ini setelah memperoleh rekod daripada JPJ bahawa semua kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Arahan juga sudah diberikan untuk mengesan kenderaan menyerupai kenderaan terbabit melalui kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang ada di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan sempadan Selangor,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Shuhaily enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan berkaitan penculikan atau melarikan orang.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang media dilaporkan berkata setakat ini seramai 16 individu telah dirakam percakapan berhubung penculikan Pamela.
Katanya, siasatan kes tersebut kini menjurus kemungkinan suaminya dan beberapa individu lain terbabit dalam misteri kehilangan wanita itu. – MalaysiaGazette
















