Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Enam Ketua Cabang PKR di Negeri Sembilan menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden.

Ketua Cabang terbabit adalah Jufitri Joha ( Rembau), Zainal Fikri Abd Kadir (Jelebu), Noor Iskandar Mohamad Noor (Seremban), Ahmad Izzudin Ismail (Rasah); Ismail Muhamad Nor (Kuala Pilah) dan V Raja (Tampin).

Sokongan kepada Nurul Izzah diberikan kerana Puteri Reformasi itu adalah individu yang terbaik bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden sebagai persediaan menghadapi cabaran Pilihanraya Umum (PRU) ke-16.

Selain itu ia juga bagi mempertahankan kepimpinan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memberi fokus memacu negara ke arah yang lebih cemerlang.

“Parti memerlukan individu di luar kerajaan khususnya yang tidak memegang sebarang jawatan Menteri bagi memberikan fokus sepenuhnya memimpin dan memperkasakan parti sehingga ke akar umbi.

“Urusan pemerkasaan parti sebelum ini dilihat tidak digerakkan secara serius maka sudah sampai masanya kepimpinan tertinggi memberikan fokus kepada pemerkasaan parti menjelang PRU ke-16 sekaligus memberikan ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin negara,” katanya.

Menurutnya, Nurul Izzah merupakan individu yang tepat bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden memandangkan beliau merupakan antara tokoh penggerak reformasi yang memahami sejarah panjang dan idealisme perjuangan parti.

Beliau juga dipilih berikutan kelayakan berdasarkan merit dengan kualiti kepimpinan bukan sahaja di pentas nasional bahkan di pentas antarabangsa.

PKR katanya memerlukan individu yang berpengalaman luas seperti Nurul Izzah yang telah diuji ketika parti berada dalam keadaan susah mahupun senang.

Sokongan kepada Nurul Izzah juga merupakan proses transisi kepimpinan yang baik parti bagi memastikan parti sentiasa mempunyai kepimpinan yang berkualiti dan berkaliber.

“Justeru pihak kami sekali lagi berpandangan Nurul Izzah Anwar merupakan individu yang tepat mengisi jawatan Timbalan Presiden dan pihak kami memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden PKR untuk sesi 2025-2028,” katanya dalam kenyataan.-MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast