Seorang tekong tempatan dan dua warganegara Indonesia dicekup Maritim Selangor kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah

PELABUHAN KLANG – Seorang tekong tempatan dan dua warganegara Indonesia dicekup Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) Selangor ketika leka menangkap ikan di atas sebuah bot nelayan tempatan kelas B di perairan Tanjong Karang, dalam operasi petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, ketiga-tiga ditahan ketika pihaknya sedang melakukan rondaan rutin 6.8 batu nautika barat daya Tanjong Karang, kira-kira jam 1.25 petang semalam.

“Tekong lelaki, warganegara Malaysia berusia 67 tahun, bersama dua awak-awak warga Indonesia berumur 28 dan 37 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan itu melakukan kesalahan menggunakan mata pukat kurang dari 38 milimeter yang dilarang dalam operasi penangkapan ikan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Bot nelayan itu pula tidak diusahakan sendiri oleh pemilik bot dengan menggunakan warga asing serta gagal mempamerkan nombor patil bot.

“Turut dirampas ialah kira-kira 50 kilogram ikan campur, dipercayai hasil tangkapan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga individu bersama bot nelayan dan hasil rampasan telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah, di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen serta dua kru tiada dokumen pengenalan diri sah.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan lesen sah,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram khususnya di perairan Selangor.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aduan berkenaan aktiviti mencurigakan atau kes jenayah di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast