Aznan ketika menjawab soalan lisan daam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri menetapkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pengusaha van sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, garis panduan dan SOP itu bagi mengelakkan tragedi kanak-kanak lima tahun maut selepas tertinggal lebih empat jam di dalam sebuah van sekolah di negeri ini tidak berulang.

“SOP dan garis panduan ini melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“SOP pertama melibatkan pengurusan pemandu dan pengiring di mana mereka perlu menjalani latihan khas mengenai keselamatan kanak-kanak, keselamatan jalan raya dan prosedur pertolongan cemas.

“Mereka juga perlu mendapatkan sijil kesihatan yang sah dan ujian psikologi untuk memastikan kesediaan mental dan fizikal,” katanya.

Aznan (BN-Tanjung Surat) berkata demikian semasa menjawab soalan lisan bagi Mesyuarat Pertama (pembukaan rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Bor Yang (PH-Senai) berkenaan garis panduan atau SOP yang ditetapkan oleh kerajaan susulan insiden kanak-kanak maut selepas selepas tertinggal lebih empat jam di dalam sebuah van sekolah di negeri ini.

Aznan menambah, van sekolah yang membawa lebih daripada 10 kanak-kanak mestilah mempunyai seorang pengiring yang bertanggungjawab bagi memastikan mereka yang berada di dalam van dan berada dalam keadaan selamat sepanjang perjalanan.

Tambahnya, SOP kedua melibatkan lesen, pemeriksaan dan penyelenggaraan kenderaan yang mana pengendali berlesen perlu memberi perkhidmatan dari tempat permulaan perjalanan sehingga ke destinasi yang telah dipersetujui.

Katanya, kenderaan yang sama mestilah menjalani pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan untuk memastikan ia berada dalam keadaan selamat dan layak beroperasi selain memastikan semua peralatan keselamatan seperti tali pinggang keledar berfungsi dengan baik dan selamat digunakan.

“Ketiga, dari aspek pemantauan keselamatan terhadap kanak-kanak pula, mereka hendaklah memastikan pelajar yang naik dan turun daripada kenderaan mereka berada di kedudukan yang selamat sebelum kenderaan bergerak.

“Beberapa van sekolah kini dilengkapi dengan sistem penggera yang akan memberi amaran kepada pemandu atau pengiring sekiranya ada kanak-kanak tertinggal di dalam van setelah tiba di destinasi.

“Sistem ini akan mengesan kehadiran penumpang dan mengeluarkan bunyi atau notifikasi jika ada yang tertinggal,” katanya.

Aznan berkata, SOP keempat berkaitan rekod kehadiran kanak-kanak perlu dilakukan semasa menaiki dan turun dari van dan pengendali berlesen perlu membuat pemakluman kepada ibu bapa, penjaga atau pihak sekolah sekiranya berlaku pembatalan atau perubahan waktu mengambil pelajar selewat-lewatnya satu jam sebelum pembatalan atau waktu perubahan.

Bagi SOP kelima pula katanya, sekiranya berlaku kecemasan seperti kes tertinggal di dalam van, pihak sekolah, pengusaha van, dan ibu bapa perlu mempunyai prosedur yang jelas untuk mengambil tindakan dengan segera termasuk menghubungi pihak berkuasa tempatan dan pasukan kecemasan serta memberitahu ibu bapa dan penjaga.

Katanya, setiap kejadian keselamatan yang berlaku di dalam van sekolah mesti dilaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa yang berkenaan, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah.

“Keenam, pemandu dan pengiring van sekolah perlu menjalani latihan berkaitan keselamatan jalan raya dan pertolongan cemas dan pihak sekolah dan Ibu bapa serta penjaga perlu diberi taklimat mengenai tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan anak-anak semasa menggunakan perkhidmatan van sekolah.

“Terakhir sekali melibatkan tanggungjawab bersama di mana kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan pengusaha van sekolah perlu dan  semua pihak perlu peka terhadap risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast