BAYAN LEPAS – Seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang dipercayai menjadi mangsa penderaan ibu bapanya di Sungai Ara di sini, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan fizikal dan mendakwa telah dikurung dalam sangkar anjing oleh ibu bapanya di kediaman mereka.
“Kanak-kanak itu kini dalam keadaan stabil susulan menerima rawatan di HPP,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut Sazalee berkata, ibu bapa mangsa masih dalam tahanan reman ketika ini.
“Tempoh reman terhadap bapa mangsa yang berusia 47 tahun akan berakhir esok manakala ibunya, 49, pula akan tamat pada Ahad.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian atau penderaan terhadap kanak-kanak,” katanya.
Media semalam melaporkan mengenai kanak-kanak malang itu yang cedera dipercayai didera kedua ibu bapanya selain pernah dikurung dalam sangkar anjing.
Kejadian terhadap murid Tahun Enam itu disedari guru kaunseling di sekolah selepas mengesan lebam dan luka di belakang badan mangsa, Isnin lalu.
Rotan yang disyaki digunakan pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengurus dan jurutera di dua buah kilang di sini, turut dirampas untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette















