KUALA LUMPUR – Berbaki hanya beberapa hari lagi sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung, Malaysia kini menjadi perhatian bukan sahaja dalam kalangan negara di rantau itu, malah dari seluruh dunia.
Sidang kemuncak kali ini juga berbeza apabila turut berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China.
Ia menggambarkan kesungguhan dan komitmen tinggi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memimpin rantau itu ke arah lonjakan ekonomi dan pengukuhan hubungan antarabangsa.
Tumpuan juga pastinya terarah kepada peluncuran Deklarasi Kuala Lumpur pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini yang merupakan dokumen menyeluruh mengenai hala tuju serta pelaksanaan dasar-dasar yang dipersetujui secara bersama oleh negara-negara anggota.
Seperti ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, deklarasi itu merupakan hasil perbincangan menyeluruh melibatkan pemimpin politik, tokoh akademik dan pegawai kanan kerajaan, sekali gus mencerminkan komitmen ASEAN untuk menuju kepada pelaksanaan yang lebih konkrit.
Ia bakal menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau itu dalam pelbagai aspek termasuk tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.
Bagi pemerhati politik antarabangsa, Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli, Deklarasi Kuala Lumpur itu menandakan satu langkah penting dalam usaha ASEAN mengukuhkan kerjasama serantau.

Beliau yang juga Penyelaras International Law Unit (ILU), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menambah, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia membawa dokumen itu sebagai lambang iltizam bersama untuk membina rantau yang lebih aman, makmur dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Jelas beliau, dalam dunia yang semakin pantas bergerak, ASEAN perlu bersatu untuk memastikan rakyatnya tidak tertinggal dari segi teknologi, ekonomi dan kestabilan.
Dalam masa sama, ujarnya, Malaysia turut dikenali sebagai sebuah negara yang menekankan kepada kepentingan keamanan sebagai asas kepada kemajuan, meskipun teras negara dibina oleh penduduknya yang majmuk iaitu oleh pelbagai kaum dan agama.
“Sehubungan itu, deklarasi ini menyeru agar negara anggota terus mengamalkan dialog dan persefahaman dalam menyelesaikan isu bersama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 kali ini juga akan mengukuhkan hubungan ASEAN dengan rakan luar seperti Majlis Kerjasama Teluk dan China.
Kerjasama itu merupakan platform penting kepada rantau ASEAN untuk kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, terutama di sebalik ketidaktentuan ekonomi dunia susulan perang perdagangan negara-negara kuasa ekonomi dunia.
Disebabkan itu, seperti dijelaskan Mohd. Hazmi, Deklarasi Kuala Lumpur bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan ASEAN, malah turut menentukan hala tuju Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang mantap, berwibawa dan berpandangan jauh.

Ia katanya, sekali gus diharapkan dapat menjadi panduan dan inspirasi untuk rantau ini terus melangkah ke hadapan dengan yakin dan bersatu.
Sementara itu, ditanya bagaimana Deklarasi Kuala Lumpur kali ini berbeza dengan deklarasi yang dicapai sebelum ini, Mohd. Hazmi berkata, deklarasi sebelum ini lebih menumpukan kepada prinsip umum iaitu perpaduan serantau, keamanan dan kerjasana ekonomi yang lestari.
Bagaimanapun, jelas beliau, Deklarasi Kuala Lumpur kali ini dijangka berfokus kepada tindakan nyata dan jelas, bukan hanya sekadar prinsip.
Sebagai contoh, ujarnya, Deklarasi Kuala Lumpur 2025 akan lebih bertumpu kepada bidang tindakan seperti digitalisasi dan transformasi teknologi, selain dijangkakan lebih relevan kerana berpaksikan dunia selepas pandemik dan konflik geopolitik khususnya perang di Rusia-Ukraine; konflik di Gaza serta kontroversi di Laut China Selatan.
“Saya percaya Malaysia akan menggunakan platform ini untuk menunjukkan arah kepimpinan yang jelas dan mantap.
“Apatah lagi, Deklarasi Kuala Lumpur 2025 juga melibatkan perbincangan dengan banyak pemegang taruh seperti negara-negara anggota, ahli akademik, pihak swasta dan antaravabgsa iaitu pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar melibatkan elit politik,” katanya. – MalaysiaGazette
















