Kompleks Mahkamah Ampang.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tular merosakkan struktur kuil Hindu di Kampung Tasek Ampang dekat sini, dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan kerana memiliki dua bilah parang dan sebilah keris tanpa kebenaran, awal minggu ini.

Mahkamah Sesyen Ampang hari ini memerintahkan penganggur Sufpriyanndi Masyhuri, 34, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 19 Mei lalu.

Di Mahkamah Majistret pula, Sufpriyanndi dihukum penjara lima bulan kerana mengugut mahu memotong kepala setiausaha kuil, S.M. Mohana Thas, 34, pukul 6 pagi, pada hari dan di lokasi sama.

Mahkamah Majistret berlainan turut menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadapnya kerana merosakkan Sullam iaitu tempat sembahyang di kuil berkenaan.

Bagi pertuduhan memiliki dua bilah parang dan keris, dia didakwa di hadapan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Majistret Normaizan Rahim, Sufpriyanndi dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan kerana merosakkan kuil itu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top, Sufpriyanndi dihukum penjara lima bulan kerana mengugut mahu memotong kepala Mohana Thas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua mahkamah itu kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berjalan secara serentak dari tarikh tangkap.

Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin dan Norhidayah Abdullah Sani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai memecah masuk dan merosakkan struktur logam yang dikenali sebagai sullam di sebuah kuil Hindu, Isnin lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast