KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar aduan rasmi berkenaan mutu pengadilan aksi Malaysia Masters 2025 kepada Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Langkah itu dibuat selepas jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi merasa tidak puas hati dengan tiga keputusan pengadil dalam aksi pusingan kedua membabitkan Aaron Tai-Kang Khai Xing.
Ia termasuk membabitkan keputusan yang menyatakan bola masuk sedangkan ia jelas sekali terkeluar.
Jurulatih Indonesia itu menganggap keputusan-keputusan itu bukan sahaja mempengaruhi keputusan akhir perlawanan malah menyebabkan tekanan emosi kepada pasukan beregu ke-58 dunia itu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan aduan rasmi sudah difailkan kepada BWF dan ia turut disertakan dengan bukti termasuk bukti video.















