KUALA LUMPUR: Pelancaran Visi ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama yang dijadualkan diterima pakai oleh semua pemimpin ASEAN esok, akan menjadi asas kerjasama rantau ini bagi 20 tahun akan datang.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, visi itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan permulaan usaha kolektif untuk masa depan dan mengesahkan komitmen semua negara ahli terhadap ASEAN yang aman, berdaya tahan serta berpaksikan rakyat.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini memberi peluang untuk kita menempatkan nilai-nilai ini di pusat hala tuju ASEAN ke arah realisasi Visi 2045.
“Kejayaan visi ini bermula dengan usaha kita hari ini. Asas yang kita bina sekarang akan menentukan sama ada visi itu menjadi kenyataan atau sekadar impian,” katanya ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini hari ini.
Beliau berkata, ASEAN mempunyai kekuatan iaitu daripada kepelbagaian dan keyakinan bahawa perbezaan bukan pemisah, tetapi menjadi batu asas untuk membina jambatan ke arah persefahaman yang lebih baik.

“Dunia sedang memerhati, namun yang lebih penting, rakyat sedang bergantung harap kepada kita.
“Marilah kita melangkah ke hadapan dengan kejelasan, perpaduan dan matlamat yang teguh.
“Masa depan ASEAN bergantung kepada pilihan yang kita buat hari ini dan Malaysia akan melakukan segala usaha untuk memastikan Kepengerusian ASEAN dalam memajukan visi bersama ini,” katanya.
Sementara itu, Mohamad turut menggesa ASEAN tidak berdiam diri sebaliknya bersuara lantang dalam isu-isu membabitkan keamanan, keadilan, kesamarataan, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
Ujar beliau, ASEAN juga perlu berfikir secara kritikal untuk menyumbang secara membina dan positif kepada perkembangan global termasuk menyuarakan pendirian tegas sebagai satu suara dalam isu-isu tersebut.
Ini kerana, tambahnya, krisis di seluruh dunia masih berterusan termasuk sekatan penuh ke atas Gaza oleh tentera Israel yang menyebabkan kebuluran dan kematian ramai penduduknya.
“Kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin mencerminkan sikap tidak peduli dan dwistandard.
“Ini adalah hasil daripada penghakisan terhadap kesucian undang-undang antarabangsa.
“ASEAN tidak boleh terus berdiam diri. Kita ada suara di pentas dunia, dan kita mesti menggunakannya untuk membela yang tertindas serta menawarkan penyelesaian berlandaskan prinsip dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Dalam masa sama, tegas Mohamad, ASEAN juga harus menjadi contoh berbeza dengan membawa model berteraskan dialog, kerjasama dan multilateralisme di sebalik dunia yang semakin berpecah-belah.
Tambahnya, ASEAN juga merupakan rantau yang berlakunya pertembungan geopolitik, ekonomi dan keselamatan dengan tekanan luaran semkain meningkat serta cabaran dihadapi lebih kritikal berbanding sebelum ini.
“Kita mesti kekal sebagai peneraju kepada struktur rantau kita. Hanya ASEAN yang boleh bersuara bagi pihak Asia Tenggara.
“Kepusatan ini akan terus diuji. Oleh itu, penting untuk kita memperkukuh hubungan antara kita agar tidak goyah dengan tekanan luar.
“Bagi ASEAN, perpaduan kini lebih penting berbanding sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















