Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – ASEAN tidak berhasrat mengambil tindakan seperti sekatan bersasar terhadap Myanmar susulan tindakan tentera junta negara itu yang disifatkan tidak mengambil serius terhadap Konsensus Lima Perkara berkait konflik di negara tersebut.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN mengalu-alukan sokongan atau bantuan daripada pihak luar dalam menghulurkan sumbangan kemanusiaan kepada rakyat negara itu.

“Kita tidak mahu ambil tindakan lain luar daripada itu kerana kita pastikan supaya isu dalaman ASEAN, biarlah ASEAN yang menyelesaikannya.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan sebarang bentuk sokongan daripada pihak luar terutama dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang memerlukan bantuan,” katanya.

Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan GCC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 MEI 2025

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Mohamad ditanya berhubung kemungkinan ada cadangan mengenakan tindakan sekatan bersasar atau meningkatkan koordinasi dengan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Kumpulan Tujuh (G7) susulan konflik di Myanmar.

Menjelaskan, lebih lanjut, katanya, Konsensus Lima Perkara merupakan tunggak penyelesaian terhadap konflik di Myanmar dan dipersetujui bersama oleh semua kepimpinan ASEAN.

Ia katanya, termasuk oleh kepimpinan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar yang turut menandatangani konsensus tersebut.

“Tidak ada masalah pada konsensus ini jika ada kejujuran dan keikhlasan kerana yang kita perlukan adalah supaya mereka menghentikan permusuhan, gencatan senjata, berunding dan berbincang bersama-sama dengan membawa semua pihak selain memastikan tiada halangan bantuan kemanusiaan.

“Perkara selain itu, apabila sudah bersama-sama nanti, kita pastikan supaya Myanmar dapat mewujudkan semula sebuah kerajaan demokratik sepenuhnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Timor Leste perlu bekerja keras dalam mematuhi Instrumen Undang-Undang ASEAN supaya dapat menjadi negara anggota penuh rantau itu.

Jelasnya, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sudah menurunkan jumlah asal 84 instrumen kepada 66 bagi memudahkan serta mempercepatkan proses Timor Leste diserap memasuki ASEAN.

“Kita mahu Timor Leste berusaha dan kita cuba membantu untuk negara itu dapat mematuhi instrumen undang-undang termasuk meneroka cadangan supaya negara itu diterima terlebih dahulu dan diberi jangka masa tertentu mungkin dalam tempoh lima tahun untuk mereka mematuhi instrumen tersebut.

“Ini bersamaan dengan tema ASEAN kita tahun ini iaitu inklusiviti dan kemampanan,” katanya.

Timor Leste diiktiraf sebagai negara pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, para pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju untuk Timor Leste menjadi anggota ke-11 blok itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast