KUALA LUMPUR – ASEAN tidak pernah berdiam diri dalam isu kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, sebaliknya telah mengeluarkan kenyataan tegas menggesa penghentian segera terhadap tindakan genosid di Gaza.
Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Datuk Johari Abdul berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian ASEAN yang dilihat tidak sekeras tindakan terhadap krisis Myanmar atau konflik di Ukraine meskipun sentimen rakyat rantau ini jelas berpihak kepada Palestin.
“Kita sangat jelas. Dalam ucapan saya, kita telah menyebut dengan tegas bahawa perlu ada penghentian terhadap tindakan genosid di Gaza. Tiada apa yang disembunyikan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas ASEAN-AIPA Leaders’ Interface di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Menurutnya, kenyataan bersama yang dicapai dalam mesyuarat AIPA kali ini turut menyeru kepada penyelesaian secara aman melibatkan gencatan senjata, bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan penghentian segera kekejaman terhadap rakyat Palestin.
“Kami terus menyeru kepada keamanan dalam menghadapi cabaran global yang memberi kesan kepada kestabilan dunia.
“Ini termasuk situasi mendesak di Gaza, Ukraine dan Myanmar,” tambahnya.
Dalam pada itu, Johari memaklumkan bahawa ASEAN akan terus memperhalusi pendekatan diplomatik melalui sesi-sesi pertemuan akan datang untuk memberi tekanan lebih besar terhadap kekejaman Israel.
“Saya percaya, dalam pertemuan akan datang, akan ada lebih banyak perbincangan di kalangan ahli parlimen dan pemimpin kerajaan ASEAN untuk memperjuangkan isu Gaza ini,” katanya.
Johari berkata, Presiden ASEAN tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah berhenti menzahirkan pendirian konsisten Malaysia dalam menyuarakan sokongan terhadap Palestin di peringkat antarabangsa.
“Presiden ASEAN tahun ini juga telah membuat kenyataan yang sangat jelas dan tegas berkaitan Gaza.
“Kita semua sehaluan dalam perkara ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette















