KUALA LUMPUR – Insiden akaun media sosial WhatsApp Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution digodam memberi gambaran bahawa tingkat ancaman siber di negara ini berada pada paras tinggi.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, insiden melibatkan akaun media sosial individu berprofil tinggi digodam itu juga bukan kes terpencil, tetapi turut dilaporkan berlaku sebelum ini.
Sebagai contoh, katanya, melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Maybank, Khalijah Ismail.
Jelas beliau, kejadian itu memperlihatkan dua perkara utama yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan iaitu berkenaan ketiadaan latihan keselamatan siber yang menyeluruh dalam kalangan pimpinan tertinggi negara.
Selain itu, ujarnya, insiden tersebut juga menunjukkan tahap literasi digital rakyat yang masih rendah, menjadikan mereka rentan terhadap pelbagai bentuk serangan digital, daripada penipuan identiti hinggalah ke manipulasi maklumat.
“Sehubungan itu, MCCA mencadangkan pelaksanaan kursus keselamatan siber wajib untuk semua ketua jabatan dan penjawat awam peringkat atasan, dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CGSO dan Jabatan Digital Negara.
“Selain itu, kerajaaan juga perlu memperkenalkan dasar pendidikan literasi digital secara sistematik bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga sektor awam dan swasta, dengan menjadikan literasi digital sebagai kemahiran asas kebangsaan, setanding dengan membaca, menulis dan mengira (3M),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan akaun WhatsApp Saifuddin Nasution digodam dan menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan atau mesej yang mengaku atau menyamar sebagai Menteri berkenaan terutama yang melibatkan kewangan atau temujanji.
Sementara, Siraj berkata, pendidikan berkenaan literasi digital bukan sekadar kefahaman tentang teknologi, tetapi melibatkan kecekapan menggunakan alat digital secara bijak, selamat dan bertanggungjawab.
Jelasnya, dalam era di mana serangan siber boleh menjatuhkan reputasi dan mengancam keselamatan negara, elemen pendidikan itu menjadi benteng pertahanan terpenting bagi rakyat Malaysia.
“MCCA komited untuk terus menjadi rakan strategik kepada kerajaan dan agensi berkaitan dalam membina literasi digital dan membentuk ekosistem digital yang selamat, beretika dan berdaya tahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















