Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah baik prosedur pemeriksaan kenderaan dengan piawaian keselamatan lebih ketat serta kecekapan sistem dan kualiti perkhidmatan lebih baik kepada pengguna, berkuat kuasa 1 Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penambahbaikan itu akan melibatkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) seperti Puspakom Sdn. Bhd.

“Antara penambahbaikan itu merangkumi pemeriksaan ketebalan bunga tayar dan pemeriksaan kenderaan berat jenis dumper tipper.

“JPJ menetapkan semua kenderaan perdagangan (barangan dan perkhidmatan awam) mesti mempunyai ketebalan bunga tayar (tyre thread) sekurang-kurangnya 1.6mm pada keseluruhan permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan.

“Sebelum ini, JPJ telah menetapkan Puspakom memeriksa sekurang-kurangnya 75 peratus daripada permukaan tayar yang diperiksa perlu mematuhi had minimum tersebut.

“Mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi ketetapan tersebut adalah tidak lulus terhadap pemeriksaan kenderaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kata Aedy Fadly, JPJ juga akan bekerjasama dengan Puspakom untuk melaksanakan penguatkuasaan dengan memastikan kenderaan jenis dumper/tipper tidak mempunyai pagar sisi melebihi spesifikasi ditetapkan.

“Ia selaras dengan Syarat Permit yang dikeluarkan oleh APAD dan Pelan Teknikal Kenderaan yang telah diluluskan,” katanya.

Selain itu katanya, pemilik kenderaan dumper/tipper yang mengangkut muatan khas juga hendaklah mengemukakan Surat Tawaran Kelulusan (STK) / permit semasa menjalani pemeriksaan di Puspakom bagi memastikan jenis badan dan jenis muatan selari dengan kelulusan yang diberikan.

“Langkah memperketatkan penguatkuasaan itu selaras dengan pelaksanaan kod badan khas bagi kenderaan jenis dumper/tipper yang mengangkut muatan khas seperti baja, coal, fly ash, gypsum, habuk kayu, jagung, palm kernel, dan padi.

“Penguatkuasaan ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan spesifikasi kenderaan, di samping menjamin aspek keselamatan serta pematuhan terhadap syarat pengendalian muatan khas di jalan raya,” katanya.

Katanya, pemilik kenderaan mempunyai dua pilihan jika kenderaan telah gagal pemeriksaan di Puspakom iaitu perlu merujuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Ia bagi pembetulan semula permit atau pengeluaran permit baharu mengikut muatan asal yang ditetapkan di dalam pelan teknikal serta membuat permohonan pelan baharu kepada JPJ mengikut kod badan yang muatan yang dibawa.

“Pemilik juga perlu membuat pengubahsuaian kembali tinggi side board kepada 762mm dan tiada perubahan pada kod badan dumper/tipper sedia ada (LRD/SKD) sebelum boleh menjalani pemeriksaan di Puspakom semula,” katanya.

Katanya, penambahbaikan ini akan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan di jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan, serta memastikan kepatuhan terhadap peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“JPJ komited untuk terus memastikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) memberikan perkhidmatan terbaik dan menjadikan pemeriksaan kenderaan lebih efisien, berkesan dan selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast