Mohamad Hisyam Hazaril

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Sabah mempersoal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan tuduhan dakwaan rasuah melibatkan wakil rakyat di negeri itu sebagai persepsi politik.

Ketuanya, Mohamad Hisyam Hazaril berkata, kenyataan itu bukan sahaja mengejutkan, malah membangkitkan pelbagai persoalan mengenai komitmen sebenar kerajaan Madani dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila kenyataan Anwar itu dibuat di hadapan pemimpin-pemimpin Sabah yang dikaitkan dengan video dakwaan rasuah yang tersebar luas itu.

“Ini satu tindakan yang dilihat boleh ditafsirkan sebagai cubaan untuk ‘membersihkan’ imej individu-individu tersebut di khalayak ramai.

“Apakah makna tersirat di sebalik kenyataan ini? Apakah isyarat dihantar menunjukkan bahawa integriti boleh dinegosiasikan demi kepentingan politik?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar mempertahankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menegaskan siasatan berhubung dakwaan rasuah ke atas ADUN di Sabah dibuat berdasarkan prosedur dan undang-undang.

Namun, ujar Anwar, beliau kesal apabila ada pihak membangkitkan persepsi kononnya kerajaan menutup kes terbabit.

Sementara itu, Mohamad Hisyam menyifatkan kenyataan Anwar tersebut dibuat pada waktu amat sensitif iaitu ketika rakyat menanti serta menuntut ketelusan dan tindakan tuntas.

Menurutnya, ia juga menimbulkan spekulasi bahawa isu rasuah itu sedang diperdagangkan sebagai modal untuk mencatur semula landskap politik Sabah.

“Adakah ini satu percubaan untuk membentuk gabungan politik baharu dengan menggunakan isu rasuah sebagai umpan untuk berhadapan PRN Negeri yang akan datang tidak lama lagi?” katanya.

Selain itu, tambahnya, kenyataan Anwar itu juga menampilkan satu retorik yang bercanggah dengan nada tegas kerajaan sebelum ini yang kononnya berjanji untuk tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah.

“Kini rakyat melihat satu kelenturan nada iaitu satu kecenderungan untuk mengaburkan sempadan antara salah laku dan strategi politik.

“Apakah ini tanda awal bahawa prinsip tatakelola dan keadilan boleh dilunturkan atas nama politik?

“Bagaimana ucapan ini mampu mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan? Satu persoalan yang besar bermain di fikiran rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast