Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof membidas tohmahan penyelaras kawasan itu, Datuk Rais Yasin kononnya beliau tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Negeri Melaka tidak menyalurkan peruntukan kepada ADUN pembangkang, namun Dr Aleef sentiasa menyuarakan permasalahan rakyat dalam setiap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Sebagai ADUN pembangkang yang tidak diberikan peruntukan secara sewajarnya, saya tetap terus membantu rakyat yang memerlukan.

“Walaupun saya tiada peruntukan, namun rakyat tetap bertemu dengan saya, meluahkan kekecewaan mereka kerana tidak mendapat bantuan setiap kali datang ke Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang.

“Kecewa dengan layanan Japerun itu, rakyat sendiri mempersoalkan kredibiliti Datuk Rais dalam menjalankan tugasnya.

“Tidak tergamak saya hendak memalukan beliau, tetapi memang jelas prestasinya sebagai penyelaras DUN Sungai Udang sangat mengecewakan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Jumaat lalu,  Rais menyanggah kenyataan ADUN Sungai Udang itu kononnya kebajikan serta pembangunan di kawasan berkenaan terabai, sambil menganggap ADUN Sungai Udang itu hanya lantang di media sosial tanpa turun padang melihat keadaan sebenar.

Sebaliknya Rais berkata, pihaknya sentiasa melakukan tinjauan serta melaksanakan kebajikan dan pembangunan di Sungai Udang menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) untuk memastikan rakyat selesa dan merasakan kehidupan mereka terbela.

Dalam pada itu, Dr Aleef membidas tohmahan yang dilemparkan Rais kononnya beliau tidak melakukan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik.

“Jangan cakap saya tak buat kerja, isu dan permasalahan di DUN Sungai Udang sentiasa saya perjuangkan di dalam persidangn DUN Melaka, tetapi amat mengecewakan, kebanyakannya tidak diselesaikan oleh pihak kerajaan.

“Malah Kerajaan Negeri Melaka memilih untuk memandang sepi terhadap apa yang diperjuangkan oleh pihak pembangkang,” katanya.

“Isu pembinaan WTE, Klinik Kesihatan Sungai Udang dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang daif, semuanya telah saya bawa secara lantang dari tahun pertama bergelar wakil rakyat, tetapi sehingga kini, ia masih lagi tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Katanya lagi, sebaliknya penyelaras DUN Sungai Udang yang sewajarnya menyelesaikan isu-isu tersebut, bukan sahaja seorang Exco Kanan bahkan mempunyai akses terus kepada peruntukan kerajaan negeri.

“Saya berharap beliau tidak terasa hati, kena ingat apa yang saya bawakan itu adalah keluhan rakyat DUN Sungai Udang.

“Mungkin beliau terlalu sibuk menjaga kawasan DUN Paya Rumput dan bekerja sebagai Exco Kanan sehingga DUN Sungai Udang seolah-olah dipinggirkan walaupun beliau penyelaras DUN tersebut.

“Sekiranya terlalu sibuk dengan kerja-kerja lain, mungkin ada baiknya jawatan penyelaras Japerun Sungai Udang diberikan kepada orang lain yang boleh memberikan perhatian penuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast